Berita

Umno tak ada hak undang-undang saman wakil rakyat keluar parti

Umno tidak ada hak perundangan untuk mengambil tindakan terhadap wakil rakyat yang keluar parti itu, kata Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Dr Abdul Aziz Bari.

Menurut pakar Perlembagaan itu, buat masa ini tiada peruntukan undang-undang yang menyekat mana-mana ahli yang meninggalkan atau melompat parti.

“Itu adalah hak seseorang untuk keluar atau tinggalkan parti. Apa locus standi kalau mahu saman?

“Saman antara siapa, kalau dimalukan, difitnah bolehlah saman tapi dalam isu ini apa hak yang dilanggar atau dinafikan?” katanya seperti dipetik Bernama.

Menurut Aziz Bari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, usaha Umno itu bertentangan dengan prinsip demokrasi berparlimen selain menunjukkan ia semakin lemah atau berdepan kekalahan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menegaskan tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat yang meninggalkan parti itu sudah diambil, malah writ saman sudah dihantar kepada mereka. – Roketkini.com