Berita

Selamatkan ekonomi lebih penting dari terima gelaran – Guan Eng

Pengurniaan darjah dan bintang kebesaran dalam kalangan wakil rakyat bukan matlamat utama DAP selepas dipilih sebagai kerajaan, kata Setiausaha Agung, Lim Guan Eng.

Katanya, khidmat kepada rakyat dan usaha menyelamatkan ekonomi harus diberi keutamaan pada tahun pertama pentadbiran ini.

“Kalau tahun pertama gelaran ini diterima, ia akan beri satu persepsi lain (terhadap rakyat), ia tidak mencerminkan semangat perjuangan parti.

“Saya tidak mahu apa yang saya sebutkan ini sebagai tanda tidak hormat kepada mana-mana kerajaan negeri.

“Tetapi kita kena tunjuk dulu perkhidmatan kepada rakyat, lambat sedikit pun (terima gelaran) tidak mengapa kerana gelaran Yang Berhormat (YB) itu sudah cukup mulia untuk dibanggakan,” katanya seperti dipetik media.

Antara yang menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk adalah Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Adun Bemban, Wong Fort Pin.

Sementara, dua lagi pemimpin DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata tidak wajar wakil rakyat dari Sabah dan Melaka menerima gelaran itu kerana Ahli Parlimen Seri Iskandar, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh pernah menolak pemakaian gelaran Datuk yang mereka terima.

“Bila saya sebut begini, mungkin akan menyinggung perasaan ahli-ahli dan pemimpin tetapi saya rasa perkara ini juga akan disebut kalau Karpal Singh masih ada,” katanya sambil menambah teguran itu perlu bagi memastikan DAP tidak hanyut seperti BN.

Justeru itu, katanya, DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi membincangkan pengurniaan gelaran yang diterima anggota parti. – Roketkini.com