Berita

Gani Patail digesa jelaskan sebab tidak dakwa Musa Aman – Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi penjelasan mengapa beliau tidak mendakwa bekas Menteri Besar Sabah Tan Sri Musa Aman.

“Adakah Abdul Gani tidak mendakwa musa kerana beliau takut dengan Musa atau bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

“Atau adakah Abdul Gani mempunyai kaitan dengan Musa? Abdul Gani mesti menjelaskan keputusannya dan melenyapkan syak wasangka terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Musa didakwa di mahkamah pada Isnin lepas dan berdepan 35 pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima RM253 juta rasuah berkaitan kontrak pembalakan.

Bercakap kepada pemberita dua hari lalu, Musa berkata pertuduhan yang dikenakan terhadapnya merupakan “kes lama” yang telah dibersihkan sebelum ini.

“Insya-Allah, saya akan lawan kes ini untuk membersihkan nama saya. Saya tidak tahu kenapa… Kes ini telah diselesaikan sebelum ini, kira-kira 10 ke 14 tahun lalu.

“Kenapa menjadi isu lagi? (Datuk Seri) Nazri (Aziz) yang menjadi menteri bertanggungjawab dalam urusan parlimen pada waktu itu telah membersihkan kes ini… Tidak ada kes terhadap saya,” katanya.

Nazri hari ini bagaimanapun dilaporkan berkata bukan beliau yang membersihkan nama Musa, sebaliknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia adalah SPRM, bukannya saya. Saya tidak boleh membuat kenyataan peribadi kerana SPRM merupakan badan bebas.

“Sebagai menteri (ketika itu), saya tidak boleh campur tangan dengan keputusan SPRM. Kenyataan saya adalah berdasarkan kepada perkara yang mereka mahu saya umumkan,” katanya seperti dipetik.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata seluruh Menteridan ahli Parlimen Barisan Naional (BN) pada 2012 harus bertanggungjawab dan menjelaskan perkara itu.  

“Pihak berkuasa harus menyiasat mereka jika mereka terus berdiam diri dan menafikan perkara itu,” tegasnya. – Roketkini.com