Berita

MP Lanang sambut baik pengumuman tambahan penerbangan musim perayaan

Ahli Parlimen Lanang Alice Lau menyambut baik pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan AirAsia berhubung penambahan penerbangan lewat malam serta penawaran harga tiket tetap untuk musim perayaan Tahun Baru Cina akan datang.

Menurut Alice, usaha beliau dalam membangkitkan isu harga tiket yang melambung ketika tiba musim perayaan di Dewan Rakyat sejak 2013 akhirnya membuahkan hasil dan mendapat perhatian kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Isu ini telah membebankan rakyat untuk bertahun-tahun lamanya dan terdapat juga laporan yang mengatakan tiket penerbangan domestik naik harga sehingga lima kali ganda semasa musim perayaan.

“Bagaimanapun, isu tersebut tidak ditangani dengan betul oleh kerajaan terdahulu namun kini tampuk pemerintahan sudah berubah, kerajaan Pakatan Harapan yang baharu telah mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah yang selama ini membebankan rakyat khususnya bagi mereka yang berasal dari Malaysia Timur dan bekerja di Semenanjung,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

AirAsia Bhd hari ini dilaporkan akan menambah penerbangan lewat malam untuk destinasi seperti Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri bagi memberi kemudahan kepada penumpang sempena cuti perayaan.

Syarikat penerbangan tambang murah itu juga menawarkan harga tiket tetap RM99 sehala untuk penerbangan Kuala Lumpur- Pulau Pinang, RM149 sehala untuk laluan Kuala Lumpur-Miri, Sibu dan Kuching serta RM199 sehala dari Kuala Lumpur-Kota Kinabalu.

Tempoh perjalanan untuk penerbangan tambahan lewat malam itu bermula 31 Januari 2019 sehingga 12 Februari 2019.

Alice dalam pada itu berharap lebih banyak lagi syarikat penerbangan akan menambah jumlah penerbangan khususnya pada musim perayaan bagi memastikan harga tiket kekal kompetitif.

“Berdasarkan kajian, pelaksanaan harga syiling bagi penerbangan domestik khususnya semasa musim perayaan mungkin mendatangkan kesan buruk kepada orang ramai kerana ia mungkin akan meningkatkan harga tiket semasa luar musim.

“Justeru, cara terbaik untuk menangani isu ini adalah dengan mengalakkan persaingan dan meningkatkan kekerapan penerbangan khususnya pada musim puncak bagi memastikan harga tiket kekal kompetitif dan munasabah,” ujarnya. – Roketkini.com