Berita

Pemuda PAS keanak-anakan, lemah mantiq – Edry Faizal

Tindakan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi adalah keanak-anakan dan menunjukkan kelemahan mantiq, apabila dia menyuruh agar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertanya sendiri kepada Tun Mahathir selepas Lim Guan Eng meminta Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan bukti wujudnya dua parti komponen Pakatan Harapan yang akan membentangkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Sebagai sebuah parti yang seringkali mendakwa mereka yang paling Islam berbanding orang Islam yang lain, adalah amat membingungkan apabila Ketua Pemudanya sendiri gagal memahami dan mengamalkan kaedah al-bayyinah ‘ala al-mudda’i yakni pembuktikan adalah ke atas orang yang membuat dakwaan.

Selepas insiden cakap berbelit Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang sekejap menafikan rakaman audio mengenai penerimaan wang daripada UMNO dan sekejap mengakui berbohong atas permintaan parti, PAS sepatutnya bermuhasabah kembali dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan kepada umum. Ini kerana tindakan sebuah organisasi menggunakan nama Islam mengeluarkan kenyataan-kenyataan cetek ilmu seperti mengelak membawakan bukti atau berbohong kerana wang mencemarkan nama Islam itu sendiri.

Hanya kerana terdapat perkataan ‘Islam’ pada nama parti, tidak bermakna segala kata-kata lagha dan dusta boleh dihalalkan atas nama Tuhan dan Agama. Berbanding menyuruh Ketua Pemudanya membuat kenyataan berunsur komedi, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sepatutnya mendedahkan bukti kepada dakwaannya selepas dicabar oleh Lim Guan Eng.

Atau adakah itu satu lagi pembohongan dengan restu Presiden parti yang dihalalkan atas nama strategi seperti dakwaan Datuk Takiyuddin ketika mempertahankan Nik Abduh?

Pantun Melayu ada menyebut:

Siakap senohong gelama ikan duri

Bercakap bohong lama-lama mencuri

Adakah disebabkan itu PAS mudah mesra dengan UMNO dan Datuk Seri Najib Razak? – Roketkini.com

*Edry Faizal adalah Ahli Dewan Negeri Kawasan Dusun Tua merangkap Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan.