Rencana

DAP kutuk tindakan samseng penyokong Najib ke atas pelajar, wartawan

Saya mengutuk perbuatan mengasari kumpulan pelajar Universiti Malaysia dan dua wartawan pelatih wanita daripada Malaysiakini oleh penyokong-penyokong UMNO dan mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu. Kelakuan yang tidak bertamadun ini mencerminkan sikap berpolitik UMNO berteraskan ugutan dan budaya samseng yang masih merupakan modus operandi parti politik tersebut.

Lebih teruk lagi, pihak-pihak ini tidak langsung menunjukkan rasa kesal atau pun bersalah atas kejadian ini walaupun telah menerima teguran keras daripada rakyat Malaysia.

Saya berasa cukup simpati terhadap dua wartawan pelatih wanita Malaysiakini yang terpaksa melalui pengalaman ini. Kesan daripada peristiwa tersebut yang ditulis oleh salah seorang wartawan pelatih tersebut, Ramieza Wahid, membuatkan saya berasa cukup risau sebagai seorang bapa:

Ketika pulang rumah pada malam itu. Sewaktu melipat sejadah usai solat Maghrib, ibu menghampir saya. Membawa minyak untuk merawat luka di tangan akibat kejadian petang tadi.

Terdetik di hati, kerisauan ibu kini mesti menggunung. Mengenangkan nasib anak gadisnya. Kini timbul rasa bersalah bersarang di dada.

“Anak ingat, biar orang buat kita jangan kita buat orang,” pesan ibu sambil menyapu minyak. Rasa pedih dan hiba ditahan. Saya tidak mahu kerisauan ibu berganda saat melihat air mata tumpah.

Anggukan tanda faham, kerana saya tahu pada ketika itu yang ibu risaukan adalah keselamatan anaknya.

Beliau turut menulis tentang trauma yang mereka alami akibat kejadian tersebut:

Trauma. Ya, tak dapat dinafikan lagi. Itu yang saya sedang rasa ketika itu.

Saya capai telefon, dan hubungi Mariam [Nizar]. Kami berkongsi rasa yang sama. Kejadian ini sungguh berat buat kami berdua.

Trauma yang dilalui Mariam sebenarnya lebih hebat. Tangannya tercedera. Dia juga diherdik, tetapi herdikan yang dia terima lagi teruk.

Jika ingin dibandingkan situasi kami, dia ibarat dilanda taufan, padahal saya cuma terkena tempias hujan.

Saya berharap penyokong-penyokong UMNO akan cuba faham kata-kata mereka ini sebagai manusia yang berakal dan bertanggungjawab, dan faham bahawa tidak ada ruang untuk menggunakan kekasaran untuk berpolitik di Malaysia.

Tindakan penyokong-penyokong UMNO yang menuntut mereka menukar laporan berita kejadian tersebut sewaktu ia sedang berlaku dengan menggunakan taktik intimidasi dan melemparkan kata-kata kesat menggambarkan amalan politik mereka yang tidak matang dan sekadar mahu melempar batu dan sembunyi tangan. Sikap yang sama ditunjukkan oleh laskar siber mereka yang cuba mengalihkan perhatian daripada perbuatan mereka kepada menyalahkan pelajar-pelajar dan wartawan-wartawan yang telah dikasari. Sedangkan dua wartawan pelatih wanita Malaysiakini tersebut hanya menjalankan tugas mereka untuk melaporkan apa yang mereka lihat dengan mata mereka sendiri, dan pelajar-pelajar tersebut berhak menyuarakan protes mereka terhadap Datuk Seri Najib.

Apakah Datuk Seri Najib dan UMNO takut jika wajah sebenar mereka dilaporkan oleh media, warga Malaysia akan sedar siapa mereka sebenarnya, dan sikap mereka untuk menutup kebenaran yang tidak selari dengan pegangan mereka? Biarlah wartawan dibenarkan untuk melaporkan berita dengan tepat dan beramanah seperti amalan negara-negara yang maju, tanpa diugut dan diancam oleh keganasan untuk membelakangkan fakta dan kebenaran. – Roketkini.com

*Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng