Berita

Sembunyi dana parti, UMNO langgar Akta Pertubuhan 1966

DAP akan membuat aduan dan meminta penjelasan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berkenaan keterangan seorang pemimpin UMNO dalam perbicaraan kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di mahkamah semalam.

Pada hari keenam perbicaraan kes Najib, Setiausaha UMNO Johor Bahru, Abu Talib Alias dan Ketua UMNO Padang Serai, Asmadi Abu Talib mengaku menerima cek masing-masing berjumlah RM300,000 dan RM50,000 daripada bekas Presiden UMNO itu.

Asmadi – yang merupakan saksi kesembilan – menjelaskan bahawa cek yang diterimanya tidak didepositkan ke dalam akaun UMNO Padang Serai, tetapi akaun peribadinya.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mengenai alasannya berbuat demikian, Asmadi menjawab:

“Sekiranya masuk ke dalam akaun bahagian, ia akan melibatkan mesyuarat agung tahunan (AGM).

“Tapi kalau melalui saya, ia akan terus masuk ke pihak pengurusan.

“AGM melibatkan juruaudit luaran,” jelas Asmadi.

Menurut Ahli Parlimen Kepong yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, pengakuan Asmadi itu membangkitkan persoalan sama ada pemimpin UMNO itu telah melanggar Akta Pertubuhan 1966.

“Menurut berita yang telah dilaporkan, mereka dengan sengaja menyembunyikan dana yang diberikan kepada UMNO tetapi menggunakan akaun individu-individu dengan tujuan menyembunyikan daripada pengetahuan pihak ROS dan juruaudit UMNO.

“Bukankah ini satu kesalahan jenayah yang serius serta melanggar undang-undang Akta Pertubuhan 1966?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

“Walaupun perbicaraan kes jenayah Najib Tun Razak dan SRC International Sdn Bhd sedang dijalankan, saya percaya pihak ROS dan agensi penguatkuasaan yang lain berkuasa bagi menjalankan siasatan serentak sama ada UMNO telah melakukan kesalahan-kesalahan susulan pengakuan saksi-saksi di mahkamah atas pembayaran secara ‘rahsia’ tersebut,” tambahnya.

Najib kini sedang dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International. – Roketkini.com