Rencana

Perjawatan bekas kakitangan SPAD berdasarkan kekosongan, kelayakan – MOT

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ingin menarik perhatian mengenai satu perkongsian dan luahan perasaan dua orang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di media sosial yang mendakwa mereka telah menjadi mangsa penganiayaan ekoran penawaran gred jawatan yang lebih rendah serta tidak setimpal dengan jawatan dan kelayakan akademik mereka sebelum ini.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ingin menjelaskan bahawa penawaran jawatan tersebut adalah satu inisiatif Kerajaan untuk membantu bekas kakitangan SPAD mendapatkan pekerjaan. Penawaran tersebut adalah berdasarkan kepada kekosongan jawatan yang terdapat di MOT, Jabatan dan Agensi serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawahnya dan bukanlah semata-mata berdasarkan kelayakan, pengalaman dan gred yang disandang sebelum ini. Tawaran perjawatan ini bersifat migrasi dan dan tidak semestinya setara dengan jawatan sebelumnya.

Bagi makluman semua, umumnya adalah menjadi satu prosedur dan peraturan Kerajaan bagi membuat pengambilan ke dalam perkhidmatan awam berdasarkan kelulusan yang telah ditetapkan mengikut skim perkhidmatan pada masa pengambilan tersebut dibuat. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang pegawai selepas pelantikannya, mendapat kelulusan yang lebih tinggi, pegawai tersebut boleh membuat permohonan baharu dalam skim perkhidmatan yang bersesuaian dengan kelulusan tersebut.

Isu Pertama: Encik Mohd Aizat Ibrahim

Merujuk kepada aduan bekas kakitangan SPAD tersebut, rekod menunjukkan bahawa Encik Mohd. Aizat Ibrahim dilantik sebagai pekerja di SPAD Pro, iaitu salah sebuah anak syarikat SPAD, sebagai eksekutif di gred L10 dengan gaji permulaan sebanyak RM3,000. Beliau kemudiannya ditempatkan di SPAD bagi menjalankan tugas Eksekutif Pelesenan dan jawatan terakhir sebagai Eksekutif Keselamatan ICOP dengan gaji terakhir sebanyak RM3,503.00. Pelantikan oleh sebuah anak syarikat, iaitu SPAD Pro ini adalah tidak mematuhi Surat Kelulusan Perjawatan (SKP) yang diluluskan untuk SPAD. Ini menjadi titik punca kepada kecelaruan perjawatan di SPAD, seterusnya memberi kesan apabila Kerajaan ingin menawarkan jawatan baharu kepada bekas pekhidmat SPAD. Kecelaruan ini hanya ditemui selepas penelitian dibuat terhadap dokumen-dokumen pelantikan SPAD Pro bagi tujuan pengurusan personel bagi maksud pembubaran SPAD.

Selepas pembubaran SPAD (dan penggulungan SPAD Pro), Kerajaan tetap berusaha membantu bekas pekerja SPAD Pro ini termasuk Encik Mohd. Aizat Ibrahim untuk ditawarkan pekerjaan di MOT, Jabatan, Agensi dan GLC berkaitan MOT. Berhubung hal ini, bilangan perjawatan yang boleh ditawarkan adalah terhad berbanding bilangan calon yang layak dipertimbangkan. Justeru akan berlaku situasi di mana calon yang berkelayakan ijazah tidak dapat ditawarkan ke jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan tersebut berikutan bilangan jawatan yang terhad. Penentuan pengisian di kalangan semua calon yang berkelayakan dibuat secara rawak dengan sebahagiannya berjaya mengisi kekosongan jawatan tersebut manakala selebihnya terpaksa ditawarkan ke jawatan kosong lain yang wujud pada gred yang lebih rendah.

Justeru, padanan terbaik, dengan mengambil kira kekosongan jawatan dan kelayakan Encik Mohd. Aizat Ibrahim, ialah sebagaimana tawaran yang telah dikemukakan kepada beliau iaitu Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19. Tawaran ini juga mengambil kira latar belakang perakaunan yang dimiliki beliau.

Kementerian ini juga berpandangan penempatan ke LPKP Sarawak tidak wajar dijadikan isu memandangkan LPKP Sarawak kini diletakkan di bawah bidang kuasa MOT. Kerajaan telah meluluskan supaya kekosongan jawatan yang wujud di LPKP ditawarkan kepada bekas kakitangan SPAD. Maka penempatan beliau ke LPKP Sarawak adalah bagi mengisi kekosongan jawatan dan atas kepentingan perkhidmatan awam. Adalah menjadi kelaziman bagi mana-mana penjawat awam untuk ditempatkan bertugas di mana-mana lokasi berdasarkan keperluan perkhidmatan.

Isu Kedua: Encik Salehuddin Saad

Manakala bagi kes kedua, Encik Sallehudin Saad telah ditawarkan jawatan sebagai Anggota Penguatkuasa (bukan eksekutif) di gred L11 (setara gred N17) dengan gaji berjumlah RM 2,212.00 Bayaran ini melibatkan gaji pokok RM1,712.00, elaun pengangkutan RM200.00 dan elaun penguatkuasa RM300.00.

Susulan pembubaran SPAD, Pihak Kerajaan telah menawarkan jawatan kepada beliau sebagai Pembantu Tadbir Operasi Gred N19 dengan gaji berjumlah RM2,267.00 yang merangkumi gaji pokok berjumlah RM1,552.00 dan elaun-elaun berjumlah RM715.00 melibatkan Bantuan Sara Hidup, Insentif Tetap Khidmat Awam dan Insentif Tetap Perumahan. Ini menunjukkan bahawa, tawaran jawatan dan jumlah gaji terkini adalah lebih tinggi berbanding jawatan terdahulu dengan perbezaan sebanyak RM55.00.

Dakwaan bahawa beliau telah menganggur selama 7 bulan adalah tidak benar kerana SPAD hanya dibubarkan berkuat kuasa pada 1 Januari 2019. Ini menjelaskan bahawa tempoh sebenar adalah 3 bulan dan 24 hari.

Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan pampasan untuk 3 bulan gaji kepada bekas kakitangan SPAD walaupun mereka berkhidmat kurang daripada 3 tahun. Asas pengiraan formula pampasan adalah 1 tahun tempoh perkhidmatan bersamaan dengan 1 bulan gaji. Nilai pampasan yang telah dibayar kepada beliau pada 31 Disember 2018 adalah berjumlah RM5,136.00.

Walau bagaimanapun, sekiranya beliau masih kekal dengan dakwaan menganggur selama 7 bulan, dibimbangi beliau telah hilang kelayakan untuk menerima pampasan dimana salah satu syarat kelayakan pampasan adalah perlu berkhidmat sehingga 31 Disember 2018.

Usaha Kerajaan

Lazimnya, bukan menjadi kewajipan mana-mana pihak dengan nasib rakyat, MOT telah mengambil inisiatif untuk mengadakan rundingan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mencari penyelesaian terbaik untuk memastikan kesemua bekas kakitangan SPAD ditawarkan pekerjaan.

Semua kakitangan SPAD telah sebelum ini diberi pampasan minimum tiga (3) bulan gaji. Bagi menampung keperluan tersebut, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM27.2 juta dengan nilai pampasan tertinggi adalah sebanyak RM293,657.10 dan nilai terendah sebanyak RM5,136.00. Hasrat murni Kerajaan untuk membantu bekas kakitangan SPAD terbukti melalui pembayaran pampasan yang telah dilaksanakan pada 31 Disember 2018 iaitu pada hari terakhir perkhidmatan mereka di SPAD.

Pemansuhan SPAD adalah satu langkah penstrukturan semula di sebabkan oleh pertindihan fungsi dan peranannya dengan MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Berikutan itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah ditubuhkan bagi menggantikan SPAD dengan mengekalkan dua fungsi utamanya iaitu perancangan pembangunan sektor pengangkutan darat dan perlesenan. Manakala fungsi penguatkuasaan diletakkan di bawah bidang kuasa JPJ.

Sehingga kini, seramai 786 (81.8%) bekas kakitangan SPAD telah ditawarkan pekerjaan ke pelbagai Bahagian, Jabatan, Agensi dan GLC di bawah MOT. Selain itu, 16 (1.7%) bekas kakitangan masih dalam pertimbangan SPA untuk kelulusan pelantikan. Manakala 31 (3.2%) bekas kakitangan lagi tidak memenuhi syarat asas termasuk melebihi had umur pelantikan. Setiap penawaran bergantung kepada kekosongan yang ada termasuk di Sabah dan Sarawak. Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada arahan penempatan berdasarkan kepentingan perkhidmatan.

Baki seramai 128 (13.3%) bekas kakitangan masih dalam proses padanan kerja di bawah program ‘Job Matching’ dengan kerjasama Agensi JobsMalaysia. Dalam hal ini, MOT menyarankan supaya setiap bekas kakitangan bersikap positif dan mengambil peluang yang ditawarkan oleh semua pihak termasuk pihak swasta.

Pihak MOT juga ingin menegaskan bahawa proses pengambilan dan penempatan bekas kakitangan SPAD mengambil sedikit masa disebabkan keperluan Kerajaan untuk menyaring setiap pencalonan secara rapi dan pada masa yang sama perlu melaksanakan padanan kerja berdasarkan kekosongan. Ini bagi mengelakkan salah padanan yang mungkin akan mengakibatkan rasa tidak puas hati dikalangan pihak-pihak berkaitan di samping mengelak insiden pelanggaran integriti sebagaimana yang tersiar di media massa semalam melibatkan bekas kakitangan SPAD. – Roketkini.com

*Kenyataan media Kementerian Pengangkutan Malaysia pada 24 April 2019.