Berita

Pindah pengundi tentera secara haram: 3 kerusi UMNO goyang?

Beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini didakwa memindahkan pengundi tentera ke empat kawasan Parlimen bagi memberi kelebihan kepada calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu.

Empat kerusi Parlimen berkenaan disandang pemimpin BN iaitu Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Hishammuddin Hussein (Sembrong), Dr S Subramaniam (Segamat) dan Ismail Sabri Yaakob (Bera). Hanya Subramaniam tewas pada PRU lepas.

Dakwaan itu timbul berdasarkan laporan audit khas oleh mantan Ketua Audit Negara, Ambrin Buang yang ditugaskan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk menyiasat urusan niaga meragukan di bawah pentadbiran sebelum ini, bermula dengan Kementerian Pertahanan.

Pengerusi SPR baharu, Azhar Azizan Harun seperti dilapor media pada Rabu minggu lalu berkata, beliau mengambil maklum mengenai dakwaan itu dan akan menunggu laporan lengkap sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Mengulas mengenai pendedahan itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dalam kenyataan hari ini menyifatkan ia sebagai penyalahgunaan kuasa dan pencabulan proses demokrasi yang serius oleh pentadbiran mantan Perdana Menteri Najib Razak.

Pemimpin DAP itu justeru menggesa agar SPR melakukan inkuari berhubung pendedahan berkenaan bagi menentukan sama ada kemenangan yang diraih Zahid, Hishammuddin dan Ismail pada PRU14 lalu perlu diisytihar batal.

“Zahid, Hishammuddin dan Ismail (juga) perlu menyatakan sama ada mereka mengalu-alukan inkuiri untuk (memutuskan) sama ada pilihan raya mereka tidak demokratik dan maka perlu diisytihar tidak sah dan batal,” katanya.

Sebelum PRU14, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendapati ribuan pengundi tentera dipindahkan dan keluar dari tiga kawasan pilihan raya.

Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman berkata seramai 1,079 pengundi tentera dipindahkan ke kem Segamat di Johor, 1,234 ke kem Bera di Pahang dan 1,411 ke kem Hutan Melintang di Perak. – Roketkini.com