Berita

Kerajaan digesa giatkan usaha banteras aktiviti pengedaran dadah – Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa kerajaan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah secara menyeluruh termasuk mengesan dan menangkap tokan dadah.

Ini selepas kerajaan memutuskan untuk tidak melihat penagih dadah negara ini sebagai pesalah jenayah sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

“Sementara kita memuji langkah kerajaan untuk memulihkan penagih dadah, adalah wajar untuk kerajaan turut menggiatkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini

“Dari mana penagih-penagih ini mendapatkan dadah mereka? Bagaimana mereka boleh membeli dadah dengan begitu mudah di negara kita yang dikatakan mempunyai hukuman yang paling berat di dunia terhadap pengedar dadah?”

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu memaklumkan bahawa kementeriannya dan Kementerian Kesihatan bersetuju melaksanakan ‘decriminalization‘ ke atas penagih dadah.

Menurut beliau, pelaksanaan ‘decriminalization‘ itu akan melibatkan program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat.

“KDN akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam program harm reductionmelalui terapi dadah gantian methadone dan joint management kes-kes dual diagnosis yang dijalankan oleh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Tampoi dan Hospital Permai di Johor,” katanya.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan turut mencadangkan penggunaan undang-undang tertentu terhadap tokan dadah yang dilihat licik memadam jejak jenayah mereka.

“Seperti yang dinyatakan Muhyiddin, mereka yang ditangkap berkaitan dadah dan dikenakan hukuman penjara kebanyakannya adalah penagih dadah atau lebih buruk lagi, keldai dadah.

“Adakah tokan dadah begitu licik menyembunyikan jejak mereka, atau beban pembuktian begitu berat sehingga begitu sukar untuk menghukum mereka?

“Wajarkah kita menggunakan undang-undang seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Activity Haram 2001 (AMLA) terhadap mereka?” soalnya. – Roketkini.com