Rencana

Kit Siang ajak rakyat hargai nilai murni setiap budaya, tamadun di Malaysia

Salah satu respons kepada kenyataan saya semalam mengenai keupayaan Pakatan Harapan untuk memenangi PRU15 pada tahun 2023 — di mana saya telah menyatakan keyakinan saya untuk kemenangan ini — yang berbunyi seperti berikut:

“Bukan, bukan sekarang. Buat masa ini DAP pasti akan musnah. Sila turun ke peringkat akar umbi sekarang, dengar apa yang rakyat ingin katakan… dengar pendapat mereka yang dahulunya penyokong DAP… yang kini jumlahnya dapat dibilang dengan jari… Pemimpin DAP kini sudah menjadi pekak, buta… dan BODOH.”

Dua minggu yang lepas, saya telah mengatakan di Gelang Patah yang saya akan kehilangan kerusi Parlimen Iskandar Puteri ini dan DAP akan kehilangan 30-40 peratus undi dalam negara jika pilihan raya umum diadakan sekarang.

Perkara ini menunjukkan betapa kritikalnya salah faham dan salah tanggapan yang dihadapi DAP dan Pakatan Harapan dalam kalangan penyokong kami.

Kami memerlukan masa untuk membolehkan penyokong kami menyedari yang DAP tidak pernah mengkhianati mereka dan kami masih komited terhadap matlamat Malaysia Baharu yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan, dan integriti.

Jika benar DAP telah mengkhianati rakyat dan harapan dan matlamat Malaysia Baharu, maka layaklah DAP ditolak oleh rakyat Malaysia dan tidak akan ada cara untuk DAP mendapatkan semula sokongan rakyat. Malah sokongan ini hanya akan makin merosot.

Tetapi, jika DAP tidak mengkhianati prinsip kami dan harapan rakyat, maka masa akan membuktikan kesilapan semua salah tanggapan dan salah faham mengenai DAP ini.

Setelah berdekad-dekad berjuang, DAP tidak akan sesekali mengkhianati rakyat ataupun prinsip kami mahupun aspirasi Malaysia Baharu yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, dan integriti ini. Oleh itu, para pemimpin DAP haruslah mempunyai stamina untuk terus cekal dan komited terhadap matlamat ini.

Dalam tempoh masa dua bulan kebelakangan ini, melalui kempen berita palsu dan hasutan besar-besaran, ramai rakyat Malaysia terperangkap di dalam satu keadaan yang sangat buruk di mana hampir setiap komuniti hidup dalam ketakutan, syak wasangka, dan kebencian antara satu sama lain. Di mana mereka merasakan hak, kaum, budaya, dan agama mereka menghadapi satu krisis eksistensial.

Bagaimanakah kita sampai ke tahap sebegini? Di mana kaum Melayu kini merasakan yang mereka telah hilang kuasa politik dan hak, agama, dan budaya mereka kini terancam.

Sebagai contoh, kerosakan kepada sistem data Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini telah digunakan untuk menyebarkan berita palsu mengenai kemasukan tiga juta rakyat China ke negara ini, sekaligus mengubah demografik negara. Sedangkan berita ini tidak mempunyai sebarang asas langsung memandangkan proses semakan imigresen masih dijalankan secara manual dan semua pelawat tertakluk kepada prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen.

Malahan, jika difikirkan logik akal, mustahil untuk tiga juta rakyat China mendarat di KLIA dalam masa tiga hari kerana perkara ini akan memerlukan pendaratan lebih daripada 10,000 pesawat setiap hari! Tidak mungkin perkara ini boleh berlaku tanpa disedari oleh sesiapa.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia Cina takut hilang hak, kaum, dan budaya mereka. Mujurlah berita palsu yang mengatakan kononnya kerajaan Pakatan Harapan akan menyekat tarian singa ini disangkal dengan pantas oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan semalam.

Kerana kekurangan maklumat dan rundingan, legasi kerajaan sebelum ini dalam memperkenalkan mata pelajaran jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dilihat sebagai satu serangan ke atas sistem pendidikan Cina dan Tamil oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam masa dua bulan sahaja, melalui berita palsu dan hasutan, oportunis politik telah memarakkan api perkauman dan sentimen keagamaan sehingga wujudnya perasan syak wasangka, kebencian, dan ketakutan antara satu sama lain di negara ini.

Proses pembinaan negara kita terumbang-ambing sepanjang 16 bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Sepatutnya kita semua sebagai rakyat Malaysia bertanyakan satu soalan; jika setiap komuniti, suku kaum etnik, dan budaya menghadapi ancaman eksistensial, siapakah yang menimbulkan ancaman ini?

Saya percaya kepada satu Malaysia Baharu yang boleh menjadi salah satu daripada negara terulung di mata dunia dalam semua bidang yang diceburi manusia, memandangkan empat tamadun hebat dunia —  tamadun Islam, Cina, India, dan Barat — bertembung di negara ini.

Satu kajian Malaysiakini baru-baru ini menunjukkan kira-kira satu daripada enam rakyat Malaysia tidak tahu apa-apa mengenai budaya dan agama lain selain daripada budaya dan agama sendiri dan tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut.

Hampir satu per empat responden mengatakan yang mereka tidak mengenali budaya atau agama lain tetapi bersedia untuk mengetahui lebih lanjut dan baki 60 peratus mengatakan mereka agak faham atau sangat faham mengenai budaya yang lain daripada budaya sendiri.

Bagaimanakah dapat kita menggunakan kajian ini untuk menjadikan Malaysia sebagai negara model Perikatan Peradaban di mata dunia.

Bolehkah kita lakukannya?

Jika kita mempunyai komitmen ini untuk menjadi model Perikatan Peradaban ini, kita semua perlulah keluar daripada kepompong etnik masing-masing dan mula berinteraksi dan menghargai nilai-nilai murni yang ada dalam setiap budaya dan tamadun yang ada di negara ini. Bukan menjadi mangsa oportunis politik yang hanya bergantung kepada perpecahan dan sentiasa menghasut kita untuk berasa syak wasangka, benci, dan takut antara satu sama lain — dengan melagakan agama, budaya, dan kaum di dalam negara ini.

Ramai yang telah memberikan respons terhadap kenyataan saya dan menggesa saya untuk berputus asa.

Patutkah saya hanya lupakan impian satu Malaysia Baharu dan bersara sahaja? – Roketkini.com