Rencana

Tegakkan Perlembagaan Persekutuan demi perpaduan nasional, kemakmuran bersama

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 bukan sahaja sempena tema tahun ini, iaitu “Sayangi Malaysiaku Malaysia Bersih”. Ia juga merupakan penetapan semula semangat Merdeka seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

DAP menyeru semua rakyat Malaysia untuk menunjukkan rasa kasih sayang kepada negara dan menghargai jasa mereka yang telah berkorban demi kemerdekaan kita dengan menegakkan Perlembagaan Persekutuan. Untuk itu, kita hanya perlu melakukan sebuah ikrar mudah untuk mengangkat perpaduan nasional berbanding perpecahan, kepelbagaian berbanding penguasaan, kebenaran berbanding fitnah, kebebasan politik berbanding penindasan, kedaulatan undang-undang berbanding arahan peribadi, kesetaraan peluang berbanding monopoli, pentadbiran bersih berbanding amalan rasuah, kemakmuran bersama berbanding kapitalisme kroni, dan perlindungan alam sekitar berbanding pencemaran.

Cabaran terbesar kita ke hadapan ialah fitnah dan pembohongan yang nyata daripada mereka yang menentang kerajaan PH, dengan menggunakan sentimen perkauman dan ekstremisme agama. Ini telah mewujudkan defisit kepercayaan di mana rakyat menjadi cenderung untuk mempercayai fitnah dan pembohongan berbanding kebenaran dan fakta. Bagi membina perpaduan nasional, kita harus membina keyakinan dan mengembalikan kepercayaan ke dalam sebuah kerajaan yang berpaksikan rakyat, yang mahu membina sebuah masa hadapan yang lebih baik demi anak-anak kita. 

Rakyat tidak akan menerima sebarang keuntungan dengan mengikut jejak mereka yang menyebarkan perpecahan nasional melalui sentimen perkauman dan ekstremisme agama. Namun, negara ini bakal rugi besar jika kita gagal beri tumpuan kepada ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan ekonomi rakyat.

Sebab inilah sesi konsultasi Belanjawan 2020 yang sedang berlangsung mengutamakan kemakmuran bersama dan ekonomi berkeusahawanan yang akan membantu rakyat Malaysia menetapkan semula kepercayaan bahawa kita hanya mampu menjadi kuat apabila kita bersama. Marilah kita menyambut Hari Kemerdekaan kita dengan memperbaharui kepercayaan kita antara satu sama lain, bahawa hanya apabila kita bersatu, kita tidak akan gagal. – Roketkini.com

*KENYATAAN HARI KEMERDEKAAN 2019 DARIPADA SETIAUSAHA AGUNG DAP DAN AHLI PARLIMEN BAGAN LIM GUAN ENG DI KUALA LUMPUR PADA 30 OGOS 2019