Berita

Ismail dituntut mohon maaf kerana fitnah Jakim soal logo halal

Naib Presiden UMNO diberi tempoh sehingga 3 petang esok untuk membuat permohonan maaf kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menarik balik kenyataan yang mendakwa pensijilan logo halal Malaysia kini kononnya diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Tegas Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, beliau tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia jika Ismail Sabri Yaakob gagal berbuat demikian.

Tambah Lip Eng, dakwaan Ismail itu jelas berunsur fitnah kerana telah dinafikan Jakim dalam satu kenyataan semalam. 

“Amat tidak wajar bagi PAS dan UMNO, yang mendakwa diri mereka sebagai dua parti terbesar di negara ini, membiarkan ruang mereka digunakan oleh ahli politik toksik seperti Ismail Yaakob untuk menipu di hadapan pengikut PAS dan UMNO,” kata Lim Eng dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Ismail dipetik The Star sebagai berkata “walaupun kerajaan baru kelihatan diterajui oleh orang Melayu, tetapi secara tidak langsung dijalankan oleh DAP.”

Ismail juga menuduh kononnya pensijilan logo halal di bawah Jakim telah diletakkan di bawah Kementerian Kewangan. 

Jakim dalam satu kenyataan semalam, menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan sehingga kini proses pensijilan halal Malaysia masih di bawah tanggungjawab pihaknya dan pihak berkuasa agama Islam.

“Jakim menafikan kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa sehingga kini Jakim bersama pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri masih lagi merupakan pihak yang bertanggungjawab penuh terhadap urusan pensijilan halal Malaysia,” kata Unit Komunikasi Korporat Jakim. – Roketkini.com