Berita

MP DAP sambut baik penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam. 

Menurut beliau, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu membuktikan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil. 

“Ia (Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya) membolehkan ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) untuk meneliti dan memastikan kebertanggungjawaban Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pembaharuan oleh kerajaan PH ini adalah sebuah langkah keterhadapan bagi memperkasakan kebebasan dan ketelusan SPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Selain Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya, Dewan Rakyat turut meluluskan tiga lagi Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa serta Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi dan Alam Sekitar.

Jawatankuasa itu bertujuan memudah cara, menambah baik dasar kerajaan supaya menjadi lebih cekap dan pada akhirnya memberikan pengesahan kepada tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Jawatankuasa Pilihan Khas itu juga berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan mengenai apa-apa yang berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa berkenaan.

Ia juga tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Naib Pengerusi DAP Melaka itu berkata, pelbagai langkah telah dilaksanakan kerajaan PH sejak mengambil alih Putrajaya bagi memastikan perjalanan pilihan raya bebas dan adil termasuk menubuhkan tribunal bagi menyiasat tuduhan serius serta salah laku ahli SPR. 

“Kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya bagi mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan terhadap proses dan sistem pilihan raya,” ujarnya. – Roketkini.com