Berita

Negara hampir bankrap kerana skandal 1MDB tinggalan BN

Kerajaan Pakatan Harapan berdepan cabaran untuk membersihkan kerosakan yang ditinggalkan rejim kletokratik terdahulu, khususnya membabitkan skandal 1MDB, dan membina semula negara. 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, proses membina semula negara akan mengambil banyak usaha, masa dan kewangan. 

“Tidak dinafikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) satu monstrositi, kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya, kerosakan yang disebabkannya kepada negara,” katanya seperti dipetik Bernama.

Malah, katanya, seluruh jentera kerajaan telah disubversif dan dilemahkan oleh pentadbiran terdahulu, justeru ia perlu dipulihkan bagi membangunkan semula negara. 

“Ini bermakna sifar rasuah, jika boleh. Semua usaha telah dilakukan untuk mencapainya. Mungkin kami telah mencapai beberapa kejayaan kerana pertumbuhan telah dikekalkan,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, sejumlah besar pendapatan kerajaan kini perlu digunakan untuk membayar hutang dan jumlah yang tinggal tidak mencukupi untuk operasi dan pembangunan.

“Ia hampir suatu keajaiban yang negara ini tidak bankrap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebahagian daripada sasaran Wawasan 2020 yang tidak dicapai akan digabungkan dalam pelan tindakan Wawasan Kemakmuran Bersama dan diharap dapat dicapai pada 2030. 

Katanya ketika negara menetapkan untuk meningkatkan pendapatan kesemua kumpulan, etnik, penduduk bandar, luar bandar atau negeri, ia juga perlu meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor.

“Faktor yang paling penting ialah untuk menyediakan taraf hidup yang baik kepada seluruh rakyat Malaysia dan berharap untuk mengembalikan status kita sebagai Harimau Asia,” katanya. – Roketkini.com