Berita

RM5.1 bilion bayar hutang 1MDB sepatutnya boleh disalurkan kepada rakyat

Kerajaan Pakatan Harapan akan membelanjakan sejumlah RM5.1 bilion pada tahun ini dan tahun hadapan untuk membayar hutang 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Daripada jumlah tersebut, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, RM2.4 bilion disediakan tahun ini sementara RM2.7 bilion tahun hadapan bagi melunaskan bayaran khidmat hutang kedua-dua syarikat itu. 

“Hutang dan liabiliti 1MDB (termasuk faedah) pada masa ini adalah sebanyak RM51 bilion. 

“Ini termasuk RM8.93 bilion yang telah dibayar oleh Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD),” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Justeru itu, beliau bersetuju dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa “suatu keajaiban Malaysia tidak jatuh bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim kleptokratik terdahulu, yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi”.

“Bahkan seperti yang beliau katakan, kerosakan tersebut bukan sahaja daripada segi kewangan tetapi juga keinstitusian,” ujar ahli Parlimen Bagan itu merujuk kes 1MDB dan SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang dibicarakan di mahkamah. 

Pun begitu, kata Guan Eng, kerajaan PH masih mampu menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat meskipun menanggung beban hutang yang berat. 

“Kesan daripada kejadian-kejadian tersebut, sebanyak RM5.1 bilion akan digunakan untuk melunaskan hutang 1MDB dan SRC untuk dua tahun ini sahaja pada 2019 dan 2020, wang ‘rompakan’ yang sepatutnya boleh digunakan untuk kebajikan rakyat,” ujarnya. – Roketkini.com