Berita, Rencana

Setpol Kit Siang sambut baik hasrat kerajaan PH pinda akta berkaitan pemandu mabuk

Oleh Syahredzan Johan
Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri

Saya merujuk kepada keputusan Jemaah Menteri, seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan Saudara Anthony Loke Siew Fook pada 29 Januari 2020, untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta pemandu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan maut.

Seksyen 44(1) Akta tersebut memperuntukkan kesalahan memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian. Menurut Seksyen tersebut, pesalah akan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 3 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun serta didenda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Menurut jawapan Parlimen yang diberikan oleh mantan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi pada bulan Jun 2015, antara 2010 sehingga April 2015 terdapat sebanyak 1,035 kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Daripada jumlah kemalangan tersebut, 618 daripadanya telah mengakibatkan kematian.

Walaupun dengan statistik yang membimbangkan ini, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kali terakhir dipinda pada tahun 1999 untuk menaikkan hukuman kepada hukuman yang sedia ada. Kerajaan sebelum ini telah gagal membuat apa-apa pindaan ke atas Seksyen 44(1) Akta tersebut sejak tahun 1999 walaupun pemandu mabuk telah menyebabkan lebih daripada 1,000 kemalangan dan 600 kematian dalam masa lebih kurang 5 tahun sahaja.

Oleh itu, keputusan Jemaah Menteri untuk meminda Akta tersebut adalah dialu-alukan, dan menunjukkan bahawa kerajaan kini mempunyai kemahuan politik (political will) untuk mengambil langkah yang tidak diambil oleh kerajaan dahulu. Adalah diharapkan bahawa selepas pindaan ini dibuat, ia akan menjadi langkah pencegahan yang berkesan untuk menangani gejala ini.

Pada masa yang sama, hukuman lebih berat sahaja tidak mencukupi. Saya juga menggesa supaya pihak berkuasa untuk mempertingkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan, termasuklah mengadakan lebih banyak pemeriksaan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan di jalan raya. Ini adalah untuk memastikan bahawa orang ramai memandu dengan cermat dan mematuhi undang-undang semasa memandu. – Roketkini.com