Berita, Rencana

Pelan penstrukturan berjaya, Tabung Haji untung RM1.3 bilion

Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya meraih keuntungan sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019 susulan pelaksanaan pelan penstrukturan. 

Malah, jumlah aset TH meningkat dan melebihi liabiliti pada jumlah RM2.3 bilion untuk tempoh sama. 

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa TH melakukan pelan penstrukturan semula. 

Ia bermula dengan perubahan kerajaan pada 2018. Kerajaan baharu Pakatan Harapan melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) bagi mengendalikan kajian semula kedudukan kewangan TH. 

Hasilnya, mereka mendapati terdapat kepincangan dalam TH oleh pentadbiran terdahulu. 

Laporan PwC menyebut antara lain:

1.Pentadbiran terdahulu (Barisan Nasional) memalsukan peningkatan dan memanipulasi keuntungan dana terbabit.

2. Tidak merekodkan kerugian rosot nilai aset dan transaksi kewangan yang mencurigakan bagi mencatatkan keuntungan berganda untuk membayar hibah. 

3. Liabiliti-liabiliti TH telah melebihi aset-asetnya 

Pelaksanaan pelan pemulihan & penstrukturan TH

Sehubungan itu, PwC menyarankan pelaksanaan pelan pemulihan dan penstrukturan semula oleh kerajaan harus dilakukan demi memastikan kesinambungan dana TH.

Susulan itu, pakej pemulihan telah dicadangkan oleh TH dan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang kemudiannya diluluskan oleh Kabinet.

Ia kemudiannya dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2018. 

Dengan kata lain, kerajaan sebenarnya telah membayar atau bailout sebanyak tambahan RM10.3 bilion bagi memulihkan TH

Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ), anak syarikat Kementerian Kewangan Malaysia antaranya memperoleh aset-aset bernilai RM9.63 bilion daripada TH pada jumlah RM19.9 bilion melalui terbitan 2 siri sukuk dan tunai kepada TH. 

Dengan kata lain, kerajaan sebenarnya telah membayar atau bailout sebanyak tambahan RM10.3 bilion bagi memulihkan TH. 

Operasi aset TH diteruskan, periuk nasi pekerja terbela

Bagaimanapun, ada pihak yang tidak senang dengan kejayaan kerajaan PH dalam menyelamatkan TH daripada terus menanggung rugi hasil kepincangan pentadbiran terdahulu. 

Pemimpin UMNO menabur benih fitnah bahawa kononnya empat buah hotel milik TH yang dipindahkan kepada anak syarikat milik penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM), tidak lagi beroperasi.

Malah, mereka menuduh pekerja-pekerja pengendali sebelum ini, TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) diberhentikan.

90 peratus daripada pekerja sedia ada diserap ke dalam UJPM sementara bakinya diambil oleh THHR Kelana Jaya. 

Dakwaan ini jauh meleset. Operasi keempat-empat hotel yang telah diambil alih diteruskan malah tiada pekerja yang dibuang.

90 peratus daripada pekerja sedia ada diserap ke dalam UJPM sementara bakinya diambil oleh THHR Kelana Jaya. 

Malah, UJ dalam kenyataannya menegaskan bahawa hotel terbabit akan beroperasi serta kekal patuh Syariah di bawah nama baharu Raia Hotel mulai 1 April, 2020.

Mereka juga turut meluluskan dana bagi mempertingkat kemudahan dan kualiti perkhidmatan hotel tersebut.

“Menteri Kewangan tidak terlibat”

Setelah pemimpin UMNO ‘kantoi’ menipu, mereka mencari pula idea lain untuk memfitnah kerajaan. Kali ini dengan cara mengapi-apikan sentimen perkauman.

Tular satu gambar di media sosial yang memperlihatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dikelilingi pegawai-pegawai berbangsa Melayu. Ia diiringi dengan mesej yang jelik dan jelas bersifat perkauman. 

Ia menuduh Guan Eng kononnya mempengerusikan mesyuarat badan hal ehwal Islam. Mujurlah, ada pengguna media sosial yang pintar dan tidak termakan dengan hasutan puak pemecah belah. 

Gambar itu sebenarnya dicedok dari kemas kini pengguna FB dengan nama Abu Mishkat. Beliau memuat naik gambar berkenaan selepas mengadakan kunjungan Maqasid ke pejabat Guan Eng di Putrajaya.

Tak timbul soal Menteri Kewangan mencampuri urusan orang Islam, sebaliknya Guan Eng menunjukkan minat terhadap pendekatan Islam berteraskan Maqasid Syariah selepas diberi penerangan dalam kunjungan tersebut. 

Malah UJ dalam kenyataan medianya semalam mengutuk segala tuduhan palsu di media sosial yang memfitnah Menteri Kewangan, termasuk ugutan bunuh. 

“Menteri Kewangan tidak terlibat dengan sebarang keputusan berkenaan penstrukturan semula atau keputusan yang berkaitan dengan UJ dan beliau juga tidak menghadiri sebarang mesyuarat berkaitan UJ,” tegasnya. 

Tambah UJ, Pengurusan UJ dan aset-aset di bawahnya adalah ditadbir oleh Lembaga Pengarah UJ yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri bin Mohd Zahir dan semua ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutifnya Izad Sallehuddin serta barisan pengurusan kanan UJ merupakan golongan profesional beragama Islam.

Justeru itu, pengguna media sosial perlu menyemak terlebih dahulu sebarang maklumat yang diterima dan merujuk dengan sumber yang sahih bagi mendapatkan kepastian. 

Ini harus dilakukan bagi mengelak anda menjadi mangsa penyebaran fitnah yang semakin berleluasa ketika ini. – Roketkini.com