Berita, Rencana

Penyebar berita palsu akan diburu hingga ke lubang cacing

Kerajaan Pakatan Harapan serius dalam menangani penyebaran berita palsu yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, satu jawatankuasa kerja khas melibatkan polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) ditubuhkan bagi memburu penyebar berita palsu. 

“Kebelakangan ini salah guna media sosial untuk sebarkan berita fitnah isu agama yang lebih melibatkan keresahan masyarakat.

“Kami tidak berdiam diri selepas ini. Polis dan AGC akan tubuhkan jawatankuasa kerja khas cari orang-orang (sebar berita palsu) ini sampai lubang cacing,” katanya seperti dipetik Malaysiakini, hari ini. 

Menurut Hanipa, kerajaan PH mengalu-alukan kritikan, namun tidak harus melampaui batas sehingga memfitnah dan mengapi-apikan isu perkauman. 

“Kami memang mengalu-alukan rakyat guna media sosial untuk kritik kerajaan. Kritik kerajaan boleh. Tapi jangan fitnah dan sebar isu perkauman. Tapi, kami amat sedih ada pihak cuba salah gunakan kebebasan diberikan.

“Selepas ini dengan jawatankuasa kerja khas yang ada kami akan menjadi lebih efektif, akan perang terhadap budaya berita palsu,” ujarnya. 

Terbaru, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjadi mangsa berita palsu kononnya mempengerusikan mesyuarat Tabung Haji. 

Kata Hanipa, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah tersebut. 

“Menteri kewangan difitnah pengerusikan mesyuarat Tabung Haji. Tapi, sebenarnya lawatan Mujahid Yusoff Rawa (menteri di Jabatan Perdana Menteri) ke pejabat Kementerian Kewangan berjumpa Guan Eng.

“Tapi, ditularkan kononnya mempengerusikan mesyuarat berkaitan Tabung Haji sehingga timbulkan keresahan di kalangan orang Islam. Akan ada pendakwaan ke atasnya,” katanya.

Mengikut statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), sehingga Februari 2020, sebanyak 62 kes berhubung penyebaran berita palsu masih dalam siasatan, di mana lapan kes telah didakwa di mahkamah.  

SKMM juga menerima sebanyak 939 laporan sehingga kini dan 793 kesnya diberikan nasihat ekoran tiada maklumat lengkap, konflik interpersonal dan sebab yang lain. – Roketkini.com