Berita

Tindakan henti khidmat MPP KL, Labuan bakal jejaskan rakyat


Penduduk Kuala Lumpur (KL) dan Labuan bakal menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bantuan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menamatkan perkhidmatan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) pada 23 Mac.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Warisan di kedua-dua wilayah itu dalam satu kenyataan hari ini membidas keputusan tidak bertanggungjawab tersebut, sambil menyifatkan ia sebagai kejam dan amat tidak patut, lebih-lebih lagi dalam situasi PKP dilanjutkan sehingga 14 April.

“Sejak ahli MPP dilantik pada Januari 2019, mereka telah berkhidmat kepada semua penduduk KL dan Labuan tanpa mengira kaum, agama, mahupun fahaman politik. 

“Penduduk KL dan Labuan telah mengenali mereka dan mengharapkan bantuan khidmat masyarakat dari MPP.

“MPP pada waktu ini juga sedang dikerah untuk bantu rakyat dalam pelbagai program sumbangan kebajikan. 

“Penukaran MPP hanya akan melambatkan penyampaian sumbangan yang amat diperlukan terutama di kalangan golongan miskin bandar,” kata kenyataan itu.

Justeru, Ahli Parlimen PH dan Warisan di KL dan Labuan menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa agar memikirkan tentang keutamaan yang seharusnya diberikan kepada rakyat, sekaligus tidak menamatkan perkhidmatan MPP sedia ada. 

“Penukaran MPP hanya akan menimbulkan keresahan dan kekeliruan di kalangan rakyat,” tambahnya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Fahmi Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai); Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut); Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh); Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa); Dr Tan Yee Kew (Ahli Parlimen Wangsa Maju); P Prabakaran (Ahli Parlimen Batu); Lim Lip Eng (Ahli Parlimen Kepong); Fong Kui Lun (Ahli Parlimen Bukit Bintang) dan Rozman Ismail (Ahli Parlimen Labuan). – Roketkini.com