Berita, Rencana

Bil TNB melambung: UMNO jaga UMNO, rakyat tersepit

Oleh Ghafar NS

Rakyat kini tersepit lagi apabila ramai yang resah melihat bil elektrik melambung tinggi hingga mencecah 600 peratus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini!

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Respons balas daripada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah ternyata mengecewakan hati rakyat yang kesusahan. 

Beliau menyatakan bahawa segelintir rakyat keliru terhadap kaedah pengiraan dilakukan, malah kaedah pengiraan bil elektrik tidak boleh diperbuat sewenangnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana perlu diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Jadi, rakyatkah yang bersalah dalam isu ini?

Malah tindakan yang diambil terhadap aduan ini hanyalah meminta rakyat untuk merujuk kepada TNB semata-mata.

Pada tahun 2019, ketika kementerian ini berada di bawah pimpinan Yeo Bee Yin, isu yang sama turut berlaku dan kementerian bertindak pantas dengan meminta ST menyiasat isu ini dalam tempoh 14 hari untuk melihat sama ada TNB bersalah atau tidak.

Malah, TNB dikenakan denda berjumlah RM3.6 juta dengan 36 notis kompaun pada Disember 2019, walaupun telah menyelesaikan isu rungutan tersebut!

Kalau dulu kita ada menteri yang jaga kita, tetapi kini yang ada hanyalah Menteri UMNO jaga UMNO apabila merujuk kepada dua isu yang sama.

Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Azian Osman dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai pengerusi ST dan TNB yang baharu pada bulan Mei lalu.

‘Menariknya’, Menteri Tenaga Sumber Asli dan kedua-dua pengerusi yang dilantik tersebut datang daripada parti yang sama – UMNO.

Ketika kerajaan perlu menjaga kebajikan rakyat, lebih-lebih lagi dalam situasi negara sedang berhadapan dengan pandemik ini, UMNO hanya menjaga UMNO dan rakyat dibiarkan kesempitan lagi dan lagi. — Roketkini.com