Berita, Rencana

Terburainya penipuan UMNO

Oleh Shazwan Zdainal Abidin

(Ketua DAPSY Batu Pahat)

Kelahiran Perikatan Nasional (PN) yang masih belum didaftarkan, telah disambut gembira oleh akar umbi UMNO, PAS dan Bersatu. Ia ibarat kelahiran yang telah mengakhiri sebuah penantian, kononnya PN adalah pentas untuk menyatukan politik orang Melayu yang telah berpecah kepada pelbagai parti.

Benarkah PN menyatukan parti-parti politik Melayu?

Tidak. Berlainan dengan apa yang difikirkan oleh penyokong PN, rata-rata pimpinan UMNO, terutama dari Johor, telah menyatakan pendirian menolak untuk menyertai PN secara rasmi. Malah, Najib Razak sendiri menyatakan sokongan terhadap PN terbatas.

Ketua DAPSY Batu Pahat, Shazwan Zdainal Abidin

Ketika rakyat berdepan kesempitan hidup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka telah menyajikan rakyat dengan pengagihan ‘ghanimah’ di kalangan mereka. Pada masa yang sama, UMNO dilihat tidak membiarkan parti Melayu sepertinya hidup sebagai alternatif. Melayu UMNO tidak mahu berkongsi bersama Melayu Bersatu, jauh sekali bersama Melayu PAS. 

Berpuasa selama 22 bulan tidak membuatkan serakah UMNO terkawal. Setianya kepada MCA dan MIC mengatasi segalanya. Kekayaan hanya untuk elit dari kalangan mereka sahaja, tapi yang diratib kepada orang Melayu dan akar umbinya, “ABATA”. Agama, bangsa dan tanah air.

Sepertimana UMNO mengaburi mata orang Melayu, begitu jugalah yang diamalkan oleh MCA dan MIC terhadap kaum Cina dan India.

Manakala PAS yang telah berpuluh tahun kelaparan, kini sedang sibuk melahap habuan. Kaca matanya kini bukan lagi untuk menjelaskan penglihatan, tapi untuk bergaya sesuai dengan jawatan. Kononnya PAS mudah mengesan kuman di seberang lautan, tapi ternyata memerlukan teropong untuk melihat gajah melintas di hadapan. Lihat saja apa yang berlaku di Kedah dan Kelantan.

Nanti bila habis balak di hutan, hilanglah tempat pimpinan PAS di dahan. Takkanlah PAS sudah lupa kisah silamnya bersama Barisan? Selepas Bersatu, PAS hanya menunggu giliran.

Apa sudah terjadi terhadap penyatuan Melayu?

Penolakan UMNO untuk menyertai Perikatan Nasional secara rasmi, merupakan bukti jelas, UMNO langsung tidak berminat terhadap konsep penyatuan Melayu. Jauh sekali untuk agenda penyatuan ummah. Adakah anda mahu terus diperdaya? — Roketkini.com