Berita

Solidariti bersama Hannah Yeoh

Pemimpin-pemimpin wanita muda DAP hari ini menzahirkan rasa simpati dan solidariti ke atas Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang dipanggil ke Bukit Aman semalam untuk disoal siasat berhubung ciapan di Twitter berhubung isu perkahwinan bawah umur sebelum ini.

Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim mempersoalkan sama ada kerajaan hari ini merupakan sebuah kerajaan yang tidak boleh dibidas dan ditegur.

“Adakah kerajaan kini adalah kerajaan yang tidak boleh dibidas dan ditegur? Adakah bertanyakan soalan untuk memastikan hak kanak-kanak terlindung juga menjadi satu kesalahan?” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hannah semalam dilaporkan disoal siasat oleh pihak polis ekoran ciapan Twitter yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Marina turut mengajak semua pihak terlibat untuk teliti semula punca Hannah mempersoalkan perlantikan Siti Zailah sebagai timbalan menteri kementerian terbabit.

“Ini sebenarnya akibat kenyataan yang dikeluarkan Siti Zailah sendiri dalam perbahasan Parlimen pada Julai 2017 yang mana beliau mempertahankan perkahwinan bawah umur,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa DAP Wanita Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid menyeru kerajaan agar tidak menghalang ahli-ahli Parlimen daripada menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat.

Adun Seri Delima itu juga menyatakan sokongan penuh terhadap Hannah dan berharap penyiasatan berjalan dengan lancar tanpa sebarang campur tangan.

“Isu kahwin bawah umur merupakan isu yang cukup memberi kesan kepada golongan wanita terutama sekali anak-anak gadis bawah umur yang kurang berpendidikan dari keluarga berpendapatan rendah dan tidak mempunyai sistem sokongan.

“Isu kahwin bawah umur bukan sahaja melibatkan umat Islam, malah juga orang selain Islam,” katanya.

Statistik kementerian sepanjang 10 tahun lalu menurutnya, merekodkan lebih 10,000 kes pernikahan bawah umur melibatkan orang Islam dan 4,999 kes bagi bukan Islam di seluruh negara, malah ia adalah isu kebangsaan yang wajar diberi perhatian yang serius.

Syerleena menambah, kaum wanita berdepan risiko tinggi melibatkan kesihatan seksual dan kehamilan sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Masa depan ramai gadis bawah umur bergantung pada pendekatan kerajaan menangani isu ini,” katanya. – Roketkini.com