Berita, Rencana

Kerajaan digesa pertimbang moratorium terhadap pendakwaan cubaan bunuh diri

Lim Yi Wei

(Adun Kampung Tunku)

Minggu ini, seorang lagi mangsa cubaan bunuh diri didakwa dan dijatuhkan hukuman undang-undang. Penganggur yang berumur 28 tahun tersebut didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang disabit kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan pendakwa raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh yang cuba membunuh diri itu dianggap “telah menyusahkan banyak pihak semasa kejadian”.

Pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah banyak memberi kesan ke atas kesihatan mental rakyat Malaysia. Kehilangan pekerjaan, potongan gaji, rasa terasing berikutan penjarakkan sosial, serta rasa gusar akan pandemik dan garis panduan yang sering berubah-ubah ialah antara beberapa faktor tekanan perasaan.

Seawal 28 Mac, seorang pesakit dalam pemerhatian untuk Covid-19 di Hospital Serdang telah cuba membunuh diri.

Pada bulan April, seorang lelaki berumur 20 tahun di Sibu cuba membunuh dirinya dek rasa takut tidak dapat pulang ke kampung di Kapit kerana kehabisan wang. Dia turut disiasat di bawah Seksyen 309.

Pada bulan Jun, seorang penganggur berumur 42 tahun, yang cuba menikam dirinya menggunakan serpihan tingkap, telah dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Kemerosotan tahap kesihatan mental rakyat Malaysia jelas terlihat di mana jumlah kes bunuh diri sebanyak 78 sejak PKP dikuatkuasakan (18 Mac) sehingga 9 Jun. Pada tempoh yang sama tahun lepas, jumlah kes bunuh diri sebanyak 64.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen) Liew Vui Keong, pada Disember 2019 Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan bahawa pindaan undang-undang sedia ada bagi memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah boleh dibentangkan di Parlimen seawal Jun 2020.

Malangnya, setelah disoal di Parlimen oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching YB Dr. Kelvin Yii, menteri undang-undang kini iaitu YB Takiyuddin Hassan berkata pindaan tersebut masih diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.

Sementara kajian ke atas undang-undang masih dijalankan, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan moratorium terhadap pendakwaan atas cubaan bunuh diri. Seperti yang telah lama disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para aktivis kesihatan mental: mereka yang cuba untuk bunuh diri perlu dibantu, bukannya dihukum penjara atau denda – terutamanya mereka yang hilang pekerjaan dan paling terkesan akibat krisis Covid-19. Setiap cubaan bunuh diri yang gagal tidak patut dipandang sebagai satu beban, sebaliknya ia wajar dilihat sebagai satu nyawa yang berjaya diselamatkan. Adakah kita akan memberi sokongan dan membantu mangsa yang terselamat kembali berdiri di atas kaki sendiri? Atau adakah kita akan terus menekan mereka dengan undang-undang yang telah lapuk? – Roketkini.com