Berita

‘Dua pertuduhan baharu satu tindakan bermotif politik SPRM’ – Guan Eng

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap dua pertuduhan baharu terhadapnya Jumaat ini sebagai satu tindakan bermotif politik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelas Ahli Parlimen Bagan itu, ini kerana ia diadakan sehari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sabah.

Menurutnya, pertuduhan itu akan menjejaskan jadual kempennya.

“Saya telah mendapat laporan akhbar pada minggu lepas bahawa saya akan didakwa lagi sungguhpun masa itu saya tidak dapat apa-apa maklumat dari SPRM tapi SPRM telah pun membocorkan maklumat ini kepada media massa.

“Jelas bahawa ini adalah satu tindakan untuk mengganggu dan juga menyusahkan saya apabila saya sedang berkempen di dalam pedalaman Sabah,” katanya di sini hari ini.

Malaysiakini melaporkan, Guan Eng yang juga mantan menteri kewangan akan dihadapkan dengan dua lagi pertuduhan berkaitan rasuah pada 11 September ini.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu selepas sebutan kes berlainan terhadap Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Bernama, Guan Eng dijangka dihadapkan dengan dua pertuduhan baru mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang. — Roketkini.com