Berita, Rencana

Kepada Ku Li: Ini Malaysia

Oleh Zairil Khir Johari

(Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP)

Saya tertarik untuk membalas laporan bertarikh 18 September 2020 di The Malaysian Insight yang bertajuk “Jangan jadi alat DAP, kata Ku Li pada anak muda Melayu”.[2]
 
Dalam laporan tersebut, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah (lebih dikenali dengan panggilan mesra Ku Li) dipetik sebagai memberi saranan kepada anak muda Melayu dalam DAP agar “tidak dijadikan alat oleh kumpulan dalam DAP untuk menguasai negara ini”. Beliau kemudian menambah bahawa negara “ini asalnya Tanah Melayu… dan tiada tempat lain di mana orang Melayu boleh pergi.”
 
Sudah menjadi kelaziman bagi pihak media untuk mensensasikan petikan-petikan tertentu tanpa konteks yang sebenar. Namun sekiranya apa yang dilaporkan itu betul, maka saya merasakannya pelik kerana sebenarnya Ku Li sendiri yang telah mencadangkan agar saya menyertai DAP lebih 10 tahun dahulu.
 
Zaman Perubahan
 
Sekembalinya saya ke tanah air setelah tamat pengajian di United Kingdom pada akhir tahun 2006, saya mendapati Malaysia sedang mengalami gelombang politik yang makin ketara. Pada tahun 2007, dua demonstrasi besar-besaran, iaitu perhimpunan Bersih yang pertama diikuti dengan perhimpunan Hindraf, telah mencetuskan momentum yang telah mendorong kepada kejayaan bersejarah oleh parti-parti pembangkang DAP, PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum 2008. Bukan sahaja pembangkang berjaya menidakkan majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat yang sekian lama dinikmati Barisan Nasional (BN), mereka juga berjaya menewaskan BN di dewan-dewan undangan negeri Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kelantan.
 
Disuntik dengan semangat pembaharuan yang sedang menyemarak di negara, ditambah pula dengan penyertaan generasi anak muda di barisan hadapan politik, saya pun membuat keputusan untuk berkecimpung dalam kancah politik Malaysia.
 
Namun begitu, saya tidak pasti apakah cara yang paling afdal untuk menyertai politik kepartian. Saya berasa perlu mendapat nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman dalam bidang politik. Justeru, saya telah berjumpa dengan Ku Li, iaitu seorang rakan seperjuangan arwah ayahanda saya yang saya menganggap sebagai seorang mentor dan father figure.
 
Walaupun peristiwa ini telah berlaku lebih sedekah lalu, saya masih lagi boleh ingat dengan jelas perbualan yang bertempat di rumah putih Ku Li di Kuala Lumpur. Dengan penuh semangat, saya telah menyampaikan hasrat saya untuk menyumbang jasa kepada perjuangan untuk membawa pembaharuan dalam politik tanah air. Saya sedikit sebanyak ingin mengikuti jejak langkah arwah ayahanda saya yang semasa zaman mudanya telah memainkan peranan yang penting dalam peralihan politik yang telah berlaku di negara kita pada tahun 1957.
 
Ku Li telah menerima baik keinginan saya untuk menyertai perjuangan politik, malah menzahirkan kepercayaannya pada kemampuan saya untuk menawarkan khidmat bakti dengan terpuji. Beliau juga menyatakan dengan dukacita bahawa UMNO sudah pun menyimpang daripada perjuangan asal. Malah, seorang anak muda dengan idea yang berbeza sudah tentu akan menghadapi kesukaran untuk menaiki tangga hierarki parti. Akhirnya, beliau mencadangkan sesuatu yang tidak saya sangkakan. “Mungkin kamu patut mempertimbangkan menyertai parti pembangkang kerana mereka lebih bersedia untuk memberi peluang kepada anak muda.”
 
Beliau kemudiannya bertanya di manakah ingin saya berpusat dari segi politik. Saya menjawab di Pulau Pinang kerana saya telah membesar di sana. Lalu beliau berkata bahawa sekiranya itu kehendak saya, maka pilihan pun jelas. “Saya percaya kamu mampu membawa impak jika kamu menyertai DAP.”
 
Maka itulah cerita bagaimana saya menjadi ahli DAP pada tahun 2010. Sehingga ke hari ini, Ku Li masih mengingatkan saya bahawa beliaulah orang yang menasihati saya agar menyertai DAP. Saya sememangnya amat menghargai nasihat yang beliau beri pada hari itu, kerana keputusan itu dibuktikan tepat dan telah membolehkan saya untuk berkhidmat kepada negara serta negeri Pulau Pinang.
 
DAP yang lebih rencam
 
Selama 10 tahun, saya bukan sahaja menjadi ahli DAP malah sebahagian daripada pucuk pimpinannya. Oleh itu, saya telah melihat dengan mata sendiri proses transformasi dalaman yang telah berlaku. Pada ketika saya memasuki parti, memang benar tidak ramai ahli Melayu, apatah lagi anak muda Melayu. Namun banyak yang telah berubah.
 
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh parti untuk keluar daripada kepompong tradisi pengundi bukan Melayu dari kalangan kelas pekerja yang berpusat di bandar. Walaupun menghadapi rintangan-rintangan dalaman, namun hasilnya terserlah apabila DAP berjaya merencamkan barisan kepimpinan.
 
Daripada keadaan tidak mempunyai seorang pun wakil rakyat Melayu selama 18 tahun sejak tahun 1995, DAP telah berjaya memenangkan dua ahli parlimen dan seorang ahli dewan undangan negeri pada Pilihan Raya Umum 2013. Bilangan ini telah dinaikkan tiga kali ganda pada tahun 2018 dengan kemenangan sembilan wakil rakyat Melayu (satu ahli parlimen dan lapan ahli dewan undangan negeri, dengan empat daripadanya dilantik menjadi ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri). Yang lebih menariknya, enam daripada sembilan orang itu berusia bawah 40 tahun.
 
Selain daripada kemasukan pemimpin-pemimpin Melayu yang muda, DAP juga mencipta sejarah apabila calon-calon orang asal di Sabah dan Sarawak juga berjaya memenangi kerusi pada tahun 2018.
 
Sekiranya dibandingkan dengan dahulu, rupa DAP pada tahun 2020 sememangnya jauh berbeza. Daripada sebuah parti yang lazimnya diwakili muka-muka bukan Melayu dan bukan Bumiputera, hari ini DAP sudah menjadi sebuah parti arus perdana yang mampu mengetengahkan barisan wakil rakyat yang sungguh rencam. DAP juga merupakan parti dengan nisbah wakil rakyat bawah usia 40 tahun yang paling tinggi.
 
Walaupun sudah banyak berubah, DAP tetap kekal dengan komitmen terhadap prinsip-prinsip demokrasi, keadilan sosial dan persaudaraan. Inilah nilai-nilai yang menjadi tunjang parti bagi perjuangannya yang tidak berasaskan kaum.
 
Betul ramalan Ku Li bahawa saya akan mendapat penerimaan dalam DAP sebagai anak muda yang beriktikad untuk melakukan pembaharuan politik. Malah saya boleh katakan bahawa kesanggupan DAP untuk menyambut kerencaman budaya dan idea inilah yang menyediakan landasan bagi saya dan anak-anak muda lain yang berhasrat untuk membina negara Malaysia yang adil dari segi sosio-ekonomi dan mampu memberi peluang kepada setiap seorang warganegaranya.
 
Saya selalu menghormati nasihat Ku Li sebagai seorang tokoh negarawan, malah saya telah berjaya dalam politik kerana nasihatnya. Namun pada ketika ini saya ingin mengingatkan Ku Li bahawa negara ini Malaysia, dan tiada tempat lain di mana orang Malaysia boleh pergi. — Roketkini.com


[1] https://www.themalaysianinsight.com/s/273242

[2] https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/v/273228