Berita, Rencana

‘Muhyiddin kini PM yang lebih lemah berbanding semasa permulaan kempen PRN Sabah’

Oleh Lim Kit Siang

(Ahli Parlimen Iskandar Puteri)

Dikatakan, seminggu adalah tempoh yang panjang dalam politik, tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapati yang dua minggu merupakan satu tempoh yang jauh lebih panjang.

Muhyiddin kini berada di dalam satu kedudukan yang lebih lemah sebagai seorang Perdana Menteri berbanding dengan semasa permulaan kempen Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 pada dua minggu lalu.

Muhyiddin telah meminta rakyat Sabah untuk menjadikan PRN Sabah ini sebagai satu titik perubahan untuk beliau sebagai Perdana Menteri.

Kerana inilah, dalam lawatan terkini beliau ke Sabah, melawat kawasan-kawasan yang ditandingi calon DAP di Luyang dan Likas di Kota Kinabalu semalam, Muhyiddin terpaksa menjelaskan yang beliau masih lagi Perdana Menteri.

Beliau berkata “Kamu mungkin tertanya-tanya saya berdiri sini masih Perdana Menteri lagi atau tidak”.

Beliau memberitahu hadirin yang beliau masih lagi merupakan Perdana Menteri walaupun Anwar Ibrahim telah memberitahu dalam satu sidang media tengahari semalam yang beliau kini mempunyai cukup sokongan untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Tiba-tiba, nampaknya negara kita mempunyai dua Perdana Menteri serentak — Perdana Menteri yang memegang jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri menanti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin cuba menyiratkan yang Anwar menipu mengenai mempunyai cukup sokongan ini, tetapi beliau tidak berani mencabarnya, memandangkan beliau sendiri merupakan seorang Perdana Menteri “pintu belakang” yang mendapat kuasa melalui konspirasi khianat Langkah Sheraton pada bulan Februari tahun ini.

Rakyat Sabah akan mengundi dalam tempoh 36 jam daripada sekarang.

Marilah kita semua memberikan ruang kepada rakyat Sabah untuk fokus terhadap PRN negeri mereka ini sehinggalah keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ini keluar — dengan harapan Shafie Apdal dapat terus menjadi Ketua Menteri Sabah dengan kemenangan majoriti dua-pertiga untuk Warisan Plus untuk menghapuskan budaya katak politik buat selama-lamanya di Sabah dan di Malaysia.

Muhyiddin perlu menjawab dua persoalan.

Pertamanya, mengapa beliau tidak hadir ke Keningau pada Hari Malaysia, 16 September yang lepas memandangkan papan tanda telah pun dinaikkan mengatakan yang beliau akan hadir sebagai penceramah jemputan mengenai “Demi Mempertahankan Hak Kita” di satu acara memperingati Batu Sumpah Keningau.

Kedua, sama ada Kabinet dalam mesyuaratnya semalam telah memutuskan untuk meletakkan Batu Sumpah Keningau dan ketiga-tiga janjinya — “Ugama Bebas Dalam Sabah”, “Tanah Tanah dalam Sabah di kuasai oleh Kerajaan Sabah” dan “Adat Istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan” — sebagai salah satu agenda utama Jawatankuasa Khas MA63 yang diumumkan beliau.

Jika Muhyiddin tidak bersedia untuk menjawab kedua persoalan ini kepada rakyat Sabah sebelum hari pengundian pada 26 September, di manakah keikhlasan slogan dan gambar-gambar kempen beliau yang bersepah-sepah di keseluruhan negeri Sabah yang cuba menunjukkan beliau peduli mengenai kepentingan Sabah?

Muhyiddin sendiri tidak tahu, berapa lama lagi beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri pintu belakang.

Perkiraan politik sedang berubah setiap minit, apa yang relevan pada satu hari, mungkin lagi tidak relevan pada keesokan harinya.

Sebagai contoh, sokongan PAS kepada rancangan UMNO untuk berhadapan dengan pilihan raya mengejut mungkin tidak lagi kuat pada hari ini memandangkan PAS telah sedar yang mereka boleh menjadi “kingmaker” dengan menyokong Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Notis telah dikeluarkan untuk persidangan 27 hari Parlimen bagi membahaskan Belanjawan 2021, bermula pada 2 November sehingga 15 Disember 2020.

Adakah persidangan Parlimen ini akan berlangsung, atau adakah Parlimen akan dibubarkan sebelum persidangan ini?

Inilah persoalan yang memerlukan jawapan selepas hari Sabtu ini, dan semuanya bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini. — Roketkini.com