Berita

Kit Siang sokong cadangan beri laluan Warisan menang tanpa bertanding di Batu Sapi

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyokong cadangan agar parti politik tidak bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi dan memberi laluan kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menang tanpa bertanding di kawasan tersebut.

Jelas Kit Siang, langkah berkenaan adalah demi kesihatan serta keselamatan para pengundi di kawasan tersebut yang berada di Sandakan, dan juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat Sabah dan Malaysia.

Menurutnya, beliau bersetuju sepenuhnya dengan cadangan daripada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo itu memandangkan pilihan raya negeri Sabah yang baru sahaja berlangsung telah memulakan gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia.

Tambahnya, ini menjadikan Sabah sebuah negeri utama yang terkesan sehinggakan sempadan Sabah terpaksa ditutup antara 12 Oktober sehingga 25 Oktober, yang mana perjalanan hanya dibenarkan atas sebab-sebab mustahak sahaja.

“Marilah kita tunjukkan kepada seluruh dunia, yang pemimpin politik di Malaysia juga mampu untuk belajar daripada kesilapan masa lalu dan boleh menjadi inspirasi serta tauladan baik untuk menggerakkan semua rakyat, tanpa mengira latar belakang parti politik, kepada usaha memenangi peperangan melawan wabak Covid-19, dengan bersetuju untuk memberikan laluan kepada seorang calon daripada Warisan untuk menang tanpa bertanding dalam PRK Batu Sapi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerusi Parlimen P185 Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong dari Warisan.

Liew, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, gelombang kedua Covid-19 telah disebabkan oleh Langkah Sheraton yang membawa kepada penubuhan kerajaan pintu belakang pada bulan Mac lalu.

Menurut beliau, gelombang ketiga pula disebabkan oleh ahli politik pintu belakang yang cuba membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Sabah.

“Bola kini berada di dalam gelanggang Perikatan Nasional, Barisan Nasional, dan PBS,” katanya. — Roketkini.com