Berita

Segera warta, kuat kuasa RUU kurangkan kesan Covid-19

Kerajaan Persekutuan digesa segera memastikan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 diwartakan dan kemudian dikuatkuasakan.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, langkah tersebut demi mengurangkan beban dan kesempitan rakyat.

Menurutnya, sudah hampir tujuh bulan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan dan negara juga kini sedang dalam gelombang ketiga wabak Covid-19, dengan angka harian yang mencecah tiga digit setiap hari.

Dalam masa sama, tambahnya, perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) juga telah dikenakan ke atas beberapa negeri, yang sudah tentu memberi impak besar kepada orang ramai.

Sehubungan itu, RUU tersebut sekiranya berkuatkuasa, akan sedikit sebanyak memberi kelegaan dan perlindungan walaupun terdapat banyak kelemahan.

“Akan tetapi, Kerajaan Persekutuan bagaikan tidak mengambil serius perkara ini, apabila RUU tersebut masih belum menjadi undang-undang sehingga kini.

“Adalah diakui bahawa terdapatnya proses perundangan yang perlu disaluri untuk menjadikan RUU kepada akta, tetapi dalam situasi hari ini adalah wajar supaya proses itu dipercepatkan bagi RUU tersebut.

“Demi mengurangkan beban dan kesempitan rakyat, Kerajaan Persekutuan digesa untuk segera memastikan bahawa RUU tersebut diwartakan dan kemudian dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 25 Ogos 2020, RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan pada 22 September 2020 pula, RUU tersebut telah diluluskan oleh Dewan Negara.

Jelas Syahredzan, walaupun semua pihak bersetuju bahawa undang-undang seperti ini penting dan diperlukan, RUU tersebut telah dikritik oleh pelbagai pihak kerana tidak cukup menyeluruh dalam memberi perlindungan kepada mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19 yang masih melanda negara.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan juga telah dikritik kerana membentangkan RUU tersebut terlalu lewat ketika negara-negara lain sudahpun menggubal undang-undang seperti ini pada awal tahun 2020 apabila pandemik Covid-19 mula melanda.

“Malangnya, sehingga kini RUU tersebut masih belum diwartakan dan belum berkuatkuasa,” katanya yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri. – Roketkini.com