Berita

Kerajaan digesa benarkan lebih banyak PKS mohon GKP Tambahan

Oleh Zamzani Husin

Kerajaan digesa mengkaji semula kriteria untuk bantuan Geran Khas Prihatian (GKP) Tambahan bagi membolehkan lebih ramai peniaga kecil mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut. 

Kata Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, kerajaan wajar membenarkan peniaga baharu yang mendaftar selepas 31 Ogos 2020 dan tercicir pada GKP tahun lepas untuk mengemukakan permohonan baharu.

“Perniagaan-perniagaan kecil, terutamanya mereka yang dikategorikan sebagai bekerja sendiri, adalah antara golongan yang paling teruk terkesan oleh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu. 

“Kerajaan harus memastikan segala bantuan sampai kepada mereka secara efektif dan adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bahawa GKP Tambahan hanya akan diberikan kepada penerima yang lulus di bawah GKP1.0 dan GKP2.0 pada tahun lepas.

Mengulas lanjut, Poay Tiong yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka berkata kriteria yang ditetapkan LHDN itu tidak adil kerana menyebabkan peniaga kecil baharu ketinggalan. 

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya telah bertemu dengan En. Tan yang sebelum ini bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran di Melaka. 

“Beliau kehilangan kerja pada November 2020 kerana restoran tersebut telah tutup. Beliau telah cuba mencari kerja lain tetapi tidak berjaya.

“En. Tan kemudiannya mula berniaga dengan membuka sebuah gerai makanan kecil di sebuah medan selera. 

“Namun, pendapatan daripada perniagaannya kurang memberangsangkan kerana PKP. 

“Di bawah syarat GKP Tambahan, beliau tidak akan menerima bantuan RM1,000 tersebut kerana perniagaan beliau didaftarkan selepas 31 Ogos 2020,” katanya. 

Malah, tambahnya lagi, peniaga yang tidak sempat mengemukakan permohonan atas sebab-sebab tertentu pada tahun lalu juga tidak layak untuk menerima inisiatif berkenaan di bawah syarat tersebut. 

“Contohnya, pejabat saya telah menerima sebuah rayuan daripada En. Mazlan. Beliau merupakan seorang penjaja cenderamata di kawasan pelancongan di Melaka. 

“Beliau kesal kerana terlepas pandang terhadap tarikh tutup permohonan GKP pada tahun lepas walaupun beliau memenuhi semua syarat kelayakan.

“En. Mazlan sedang bertungkus-lumus menyara keluarga beliau kerana sektor pelancongan telah teruk terjejas oleh PKP. 

“Walaupun beliau cuai kerana tidak mengemukakan permohonan GKP pada tahun lepas, beliau tidak wajar dihukum untuk kali kedua dalam isu GKP tambahan ini.

“Oleh itu, saya menyeru supaya pihak kerajaan mengkaji semula kriteria untuk bantuan GKP Tambahan,” ujarnya. 

Melalui GKP, Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro seperti gerai makanan, kedai gunting rambut, dan penjaja-penjaja kecil akan menerima bantuan RM1,000 untuk membantu mereka mengharungi tempoh PKP ini. — Roketkini.com