Berita

Buat sidang media bersama, jawab persoalan PKP

Oleh B. Suffian

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa membuat sidang media bersama menteri-menteri utama Kabinet dan menjawab persoalan jika perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat akan dilaksanakan.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dalam satu kenyataan berkata, kerajaan perlu mengelakkan situasi di mana sidang media berseorangan atau ‘one-man-show’ telah disusuli dengan pusingan U kerana seorang menteri tidak berkomunikasi dengan yang lain, sepertimana sebelum ini.

“Mari adakan satu sidang media bersama oleh menteri-menteri utama Kabinet untuk meyakinkan rakyat bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berupaya membebaskan kita daripada pandemik ini,” katanya hari ini.

Kian Ming yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP menambah, mereka harus berupaya menjawab soalan-soalan:

1. Apa perancangan untuk ujian besar-besaran dan pengesanan semasa PKP lebih ketat ini? Bagaimana kita mengasingkan dan membantu individu-individu yang positif semasa program ujian besar-besaran dan pengesanan ini?
2. Apakah kerangka masa kelulusan oleh pihak berkuasa relevan (dalam kes ini NPRA) untuk vaksin seperti Sputnik (dari Rusia) dan Cansino? Apakah dokumentasi yang masih diperlukan untuk menilai keberkesanan vaksin-vaksin ini?
3. Apakah perancangan untuk mengawal penularan wabak di kilang yang mana membentuk kira-kira separuh daripada kluster yang wujud? Apa jenis pengaturan tempat tinggal yang perlu diubah terutama dalam kalangan pekerja asing yang ada tinggal di dalam kawasan kilang?
4, Apa perancangan untuk mengelakkan terjadinya lagi penularan wabak di penjara dan pusat tahanan di Malaysia? Adakah terdapat perancangan untuk memberi banduan dan pegawai penjara vaksin pada masa terdekat ini?
5. Bagaimana bantuan kewangan boleh disasarkan kepada mereka yang paling terkesan dengan PKP yang lebih ketat, seperti industri kecil dan sederhana (IKS), sektor runcit dan juga sektor pelancongan? Adakah subsidi gaji akan ditawarkan kepada syarikat-syarikat terlibat dalam sektor-sektor ini? – Roketkini.com