Berita

PH terajui usaha adakan sidang DUN segera

Oleh Roketkini

Pakatan Harapan (PH) menerajui usaha untuk mengadakan sidang dewan undangan negeri (DUN) dengan segera, selaras titah Raja-Raja Melayu semalam. 

Di Pulau Pinang, kerajaan negeri akan mendapatkan persetujuan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak untuk menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata, ini supaya hasrat mengadakan sidang DUN itu dapat dipertimbangkan menurut kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat.

“Dalam apa jua keadaan, kerajaan negeri mahupun DUN tidak akan sekali-kali mengambil risiko dan mengabaikan tanggungjawab berhubung kaedah serta prosedur yang akan digunakan bagi mengawal jangkitan pandemik Covid-19 semasa persidangan.

“(Ini termasuk) dengan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara khususnya jika penularan Covid-19 masih tinggi di Pulau Pinang serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri sentiasa berpendirian keperluan mengadakan sidang DUN juga berbangkit setakat mana Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara turut memberi kesan terhadap perjalanan jentera kerajaan negeri.

“Kedua-dua Dewan Rakyat dan DUN merupakan platform penting untuk membahaskan pelbagai isu khasnya berkaitan tindakan pencegahan serta pengawalan penularan wabak Covid-19.

“Sidang Parlimen dan DUN juga perlu bagi membahaskan berkaitan peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam membantu rakyat serta memulihkan semula ekonomi negara,” katanya lagi.

Media semalam melaporkan, Raja-Raja Melayu berpendirian mekanisme semak dan imbang dalam kerajaan perlu dan menyokong Parlimen segera bersidang.

Ia selaras dengan apa yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pada peringkat negeri, raja-raja pemerintah juga berpendirian agar sidang DUN turut bersidang.

Sementara itu, di Selangor, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengadakan perbincangan dengan Speaker Dewan Negeri Selangor hari ini bagi memulakan perancangan pelaksanaan titah tersebut.

“Selanjutnya, saya akan mempersembahkan hasil perbincangan itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk perkenan baginda. – Roketkini.com