Berita

PKP bersasar harapan terbaik menang lawan Covid-19

Oleh B. Suffian

Pendekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara bersasar yang menggunakan sains dan data adalah harapan terbaik negara untuk memenangi perang terhadap Covid-19. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pendekatan PKP bersasar berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu terbukti berjaya dengan pelaksanaan saringan besar-besaran untuk ‘uji, kesan, kuarantin dan rawat’, serta program vaksinasi yang cepat dan lancar, 

Menurutnya, DAP telah mencadangkan tambahan RM4 bilion untuk pelaksanaan saringan besar-besaran dan juga meningkatkan sistem sokongan kesihatan negara yang sedang tertekan. 

Langkah ini tambahnya, termasuk memberi jawatan tetap kepada 35,216 pegawai kesihatan kontrak yang terdiri daripada 23,077 pegawai perubatan, 5,000 pegawai pergigian dan 7,139 pegawai farmasi.

“Kerajaan Persekutuan PN harus mengakui bahawa pendekatan berpusat telah gagal menghasilkan hasil yang diinginkan dan perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri dan ahli Parlimen untuk menguruskan Covid-19 di kawasan masing-masing. 

“Contohnya adalah empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mengenepikan negeri dengan kes jangkitan harian yang rendah. 

“Tidak ada alasan untuk negeri-negeri ini dihukum sama seperti negeri lain yang mempunyai jangkitan harian yang lebih tinggi, katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Guan Eng berkata, sudah tiba untuk desentralisasi dengan membenarkan kerajaan negeri dan ahli Parlimen untuk memutuskan apa pendekatan terbaik bagi sekatan PKP atau waktu operasi perniagaan di kawasan masing-masing. 

“Ini juga akan mendorong akauntabiliti dan ketelusan berbanding formula ‘satu kaedah sesuai untuk semua’. Marilah kita memberi ganjaran kepada mereka yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya. – Roketkini.com