Berita

Speaker digesa benarkan PAC, PSC bermesyuarat secara hibrid

Dua pengerusi jawatankuasa parlimen menggesa agar Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun membenarkan mereka untuk mengadakan mesyuarat secara hibrid. 

Gesaan itu dibuat menerusi sepucuk surat yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Wong Kah Woh dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.  

Menerusi surat tersebut, mereka memohon Azhar menggunakan kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 99 dan 100 untuk mengeluarkan petua atau perintah sebagaimana yang diperlukan untuk mengesahkan dan mengizinkan mesyuarat dan sesi pendengaran diadakan secara hibrid.

“Mengambil kira bahawa negara masih berhadapan dengan wabak Covid-19, kami berpendapat bahawa untuk  memperkasakan perlaksanaan kerja Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas dengan kehadiran penuh ahli dan urus setianya, mesyuarat-mesyuarat dan sesi-sesi pendengaran haruslah diadakan secara hibrid,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Mereka berkata, ia penting bagi memastikan jawatankuasa tersebut terus memainkan peranan untuk melaksanakan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara. — Roketkini.com