Rencana

DAP Peduli: Biar apa pun berlaku, jentera DAP terus santuni rakyat

Oleh Aziera NH 

Tahun ini merupakan tahun kedua negara berdepan dengan krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang nampaknya masih tidak menjumpai jalan keluar. 

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan telah menjejaskan ramai pihak. Semakin hari, semakin ramai rakyat yang hilang pekerjaan, terputus sumber makanan, hilang tempat berteduh dan paling menyedihkan, statistik kematikan akibat bunuh diri semakin bertambah akibat tekanan kewangan.

Bukan itu sahaja, pelaksanaan PKP yang berterusan juga telah mengahalang kita untuk menziarahi orang tua yang berada di kampung halaman. 

Menerusi hantaran di laman Facebook Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor, beliau berkongsi antara aktiviti yang dilakukan oleh wakil-wakil rakyat DAP yang menyantuni golongan warga emas yang kesunyian kerana tidak dapat berjumpa anak dan cucu mereka akibat pandemik yang seperti tiada penghujungnya ini. 

Jelasnya, beliau sendiri melihat keadaan warga emas yang bersendirian di rumah, kesunyian tanpa anak-anak mereka semasa turun padang di Segamat.

“Apabila pandemik melanda dan kawalan pergerakan dikuatkuasakan, anak-anak muda ini tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menjenguk orang tua mereka.

“Syukurlah, mantan ahli majlis, mantan ketua masyarakat dan ahli-ahli DAP setempat rajin meluangkan masa untuk golongan warga emas ini. 

Liew Chin Tong menyerahkan bantuan kepada warga tua di kawasan Segamat.

“Rakan-rakan seperjuangan parti saya ini bukan sahaja menghantar sumbangan makanan tetapi juga mengambil berat dengan keperluan warga emas yang lain seperti bertanyakan khabar, menawarkan bantuan-bantuan lain serta memastikan mereka mendapat maklumat tepat tentang situasi pandemik,” katanya. 

Manakala Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, walaupun negara sedang berdepan dengan pergolakan politik, kebajikan rakyat akan beliau utamakan.

Jelasnya, bantuan kecemasan dalam bentuk wang, peluang pekerjaan dan perniagaan serta makanan untuk rakyat harus disegerakan, bukannya melawan sistem Raja Berperlembagaan untuk selamatkan jawatan seseorang dan kepentingan peribadi.

“Hari ini saya bersama ADUN Bagan Dalam Sdr Satees Muniandy menyerahkan 431 bakul makanan kepada 8 kampung di bawah kawasan Parlimen Bagan. 

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penerima di kawasan Parlimennya. 

“Walaupun rata-rata penerima sebenarnya ingin mencari rezeki mereka sendiri dan bukan bergantung harap pada bantuan, namun, bakul makanan akan terus diberikan kepada golongan yang memerlukan selagi sektor ekonomi tidak dibuka,” ujarnya yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP. 

Manakala di Kepong, pasukan DAP Kepong telah melaksanakan inisiatif pengagihan baucar beli belah tunai RM100 PEMULIH Parlimen Kepong kepada penerima yang layak. 

Lim Lip Eng bersama dengan para penerima bantuan baucer RM100 PEMULIH Parlimen Kepong.

Menurut Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, pihaknya telah memutuskan untuk memberikan baucar beli belah supaya penerima boleh pilih apa yang mereka perlu beli untuk keluarga mereka.

“Kalau diikutkan, RM300,000 yang diberikan oleh pihak kerajaan itu adalah untuk diguna pakai bagi memberikan bakul makanan kepada keluarga yang terkesan dengan PKP. 

“Tetapi permasalahan yang dilihat daripada ini adalah terdapat banyak kekangan logistik seperti masalah menyimpanan dan pengagihan. 

“Tambahan pula, kita juga perlu memahami yang setiap keluarga mempunyai kehendak yang berlainan,” jelasnya. – Roketkini.com