Berita

Uji majoriti secepat mungkin, kenapa tunggu September?

Oleh Roketkini

Beberapa ahli Parlimen menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menguji majoriti beliau di Dewan Rakyat menerusi usul percaya secepat mungkin. 

Langkah itu wajar — berbanding menunggu sehingga persidangan Parlimen September ini. 

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mencadangkan agar undian tersebut diadakan esok. 

“Sebenarnya semua ahli Parlimen patutnya berkelapangan kalau nak uji kepercayaan terhadap @muhyiddin esok,” katanya di laman Twitter. 

Perkara sama turut ditekankan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii. 

Beliau berkata, sekiranya yakin mempunyai majoriti, Perdana Menteri boleh memanggil untuk mengadakan sidang khas bagi mengujinya sekarang. 

Tambahnya, ini wajar dilakukan daripada memanjangkan krisis politik ini dan membiarkan rakyat terus hidup dalam ketidakpastian (limbo). 

“Sementara kestabilan politik itu penting, itu bukan alasan untuk menstabilkan ketidakcekapan dan kegagalan,” katanya. 

Media melaporkan, Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini memberitahu, beliau akan berdepan usul percaya di Parlimen pada sidang September ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menegaskan masih mempunyai sokongan majoriti dan sekali gus, isu peletakan jawatan bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit. – Roketkini.com