Berita

Kejadian kepala air: DAP Kedah sedia hulur bantuan

Oleh Roketkini

DAP Kedah bersolidariti dengan mereka yang terkesan dalam kejadian kepala air di Yan semalam dan bersedia untuk menghulurkan bantuan. 

Merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban, Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, beliau memohon kerajaan negeri membuat siasatan segera berhubung punca tragedi. 

Menurutnya, siasatan itu merangkumi tahap kerosakan, bilangan keluarga terlibat dan paling utama, tindakan kerajaan negeri untuk mengurangkan impak tragedi seperti itu daripada berulang.

“DAP Kedah di kawasan Parlimen Jerai telah ambil maklum kejadian ini dan bersedia untuk menghulurkan tangan bila diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sdr Chuah Jia Hui, Ketua Penyelaras PLC DAP Parlimen Jerai menyerahkan sumbangan 60 kotak air minuman kepada Pejabat Daerah Yan sebagai tanda solidariti bersama penduduk yang terkesan.

Dalam pada itu, tambah Kok Yew, bantuan dan penilaian kerugian juga harus dilakukan kepada penduduk yang mengalami kerosakan harta benda serta rumah yang dilimpahi air. 

Sekiranya perlu berpindah, ujarnya, diharapkan perpindahan itu dapat dilakukan dalam keadaan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. 

Beliau berkata, agensi berkaitan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diharap dapat menyediakan beberapa bantuan keperluan asas kepada mereka.

Jelasnya, keadaan mereka sudah pasti bertambah buruk setelah ditimpa musibah demi musibah. 

“Sudahlah tengah susah hadap Covid-19 kini datang pula bencana alam. 

“Saya bersama DAP Kedah sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi ini dan menyatakan solidariti kepada mereka yang terkesan,” katanya. – Roketkini.com