Oleh Lim Kit Siang
(Ahli Parlimen Iskandar Puteri)
14,954 kes jangkitan yang dicatatkan semalam adalah berita baik pertama Covid-19 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri tetapi ia tidak bermakna situasi penularan wabak di negara ini semakin pulih
14,954 kes jangkitan yang dicatatkan semalam adalah berita baik Covid-19 yang pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9 oleh Yang di-Pertuan Agong tepat sebulan yang lalu.
Ini adalah jumlah kes jangkitan yang paling rendah dalam tempoh dua bulan sejak 26 Julai, ketika Malaysia mencatat 14,516 kes jangkitan Covid-19.
Perkara ini juga adalah kali pertama kes baharu Covid-19 di Malaysia turun di bawah paras 15,000 kes dalam tempoh dua bulan. Dalam 59 hari sejak 26 Julai, Malaysia mencatat lebih daripada 20,000 kes baharu setiap hari untuk selama 21 hari, mencapai puncak 24,544 kes pada 26 Ogos, dengan kes baharu dalam julat 15,000 kes hanya untuk dua hari.
Bagaimanapun, seperti kata pepatah “One swallow does not make a summer” (Satu perkara baik yang terjadi tidak semestinya bermakna situasi keseluruhan semakin bertambah baik) dan kita perlu menunggu beberapa hari akan datang untuk melihat adakah berita baik yang pertama kali kita dengar sejak setahun lepas adalah perkhabaran yang benar-benar baik — sama ada gelombang Covid-19 yang paling buruk dan terpanjang di dunia sejak Pilihan Raya Umum Negeri Sabah pada September lalu telah berakhir dan kita telah beralih ke situasi di mana kes harian turun ke bawah paras 10,000 kes sebelum menurun ke julat empat angka dan kemudian ke julat tiga angka.
Pun begitu, kita harus tetap berwaspada kerana perjuangan dalam perang melawan wabak Covid-19 masih belum selesai, pertama, kerana kita adalah salah sebuah negara dengan prestasi paling buruk di dunia dalam pandemik Covid-19 dan kedua, malapetaka dan kehancuran yang diakibatkan oleh penularan varian Delta seperti yang dilihat berlaku di negara-negara lain di dunia.
Kadar kematian yang masih tinggi adalah sebab mengapa kita tidak boleh meraikan kejayaan menurunkan angka kes itu terlalu awal, terutamanya kes kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital atau BID, seperti yang digambarkan oleh kesukaran laman web Kementerian Kesihatan yang baru untuk menyiarkan data mengenai kematian Covid-19 semalam yang hanya disiarkan sejurus sebelum jam 6 pagi hari ini dan bukannya menjelang tengah malam.
Pakar perubatan dan kesihatan awam yang mengikut rapat data Covid-19 mengeluh tentang laman web baru berkenaan, terutama berkenaan dengan data kes kematian akibat Covid-19, termasuk data BID, dan saya telah menyarankan agar Menteri Kesihatan yang baru, Khairy Jamaluddin, harus membuat pernyataan Menteri di Parlimen mengenai perkara itu.
Khairy secara khusus harus menjelaskan mengapa beliau masih gagal mengurangkan kes BID setakat ini, kerana jumlah kes BID dalam tempoh tiga minggu beliau menjadi Menteri Kesihatan jauh lebih tinggi berbanding tempoh tiga minggu terakhir Menteri Kesihatan sebelumnya.
Khairy juga harus menjelaskan mengapa Malaysia terus mengatasi banyak negara dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi, dan tidak menunjukkan prestasi yang lebih baik – kerana Malaysia di bawah pengawasannya sebagai Menteri Kesihatan bakal mengatasi tiga negara lain pada akhir minggu ini dan berada di kedudukan ke-20 di dunia dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi. — Roketkini.com