Berita

Perkara 1.7 MoU PH-kerajaan dilaksanakan demi kepentingan rakyat

oleh Ghafar NS

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri bahawa kumpulan 50 peratus terbawah (B50) akan mendapat pengecualian bayaran faedah moratorium bagi tempoh tiga bulan merupakan antara tuntutan Pakatan Harapan (PH) sepertimana terkandung dalam Perkara 1.7 Memorandum Persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan.

Dalam satu kenyataan Majlis Presiden PH hari ini, mereka mengalu-alukan persetujuan PM untuk melaksanakan program tersebut demi membantu rakyat yang kesusahan, namun kesal kerana PM tidak mengiktiraf bahawa ia adalah salah satu perkara yang terkandung dalam MoU yang ditandatanganinya sendiri pada 13 September 2021.

“Tanpa pengiktirafan peranan MoU ini, ia mampu jejaskan keyakinan kami terhadap keikhlasan kerajaan untuk berpegang pada semangat MoU, selain turut bercanggah dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang sering dilaungkan PM,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga turut menyebut bahawa pada awalnya kerajaan tidak bersetuju akan cadangan PH (memberi pengecualian bayaran faedah kepada peminjam kelompok B50), namun pimpinan utama PH berusaha mengadakan siri perjumpaan bersama Menteri Kewangan serta Ketua-ketua Pegawai Eksekutif bank-bank komersil bagi memastikan dasar ini dapat dilaksanakan.

“Awalnya pihak-pihak bank agak bimbang, namun dengan siri libat urus yang berjalan dan pandangan pimpinan PH disampaikan dengan jelas, PM bersetuju dan akhirnya dasar terlaksana.

“Pelaksanaan Perkara 1.7 MoU ini adalah satu kemenangan untuk rakyat.” Tambah kenyataan itu. – Roketkini.com

Berdasarkan kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 14 Oktober 2021.