Berita

Selaraskan debat calon-calon KM Melaka

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadang untuk menyelaraskan debat antara calon-calon ketua menteri Melaka serta calon-calon bagi beberapa kawasan DUN utama.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat dapat melihat sendiri kejayaan lepas serta perancangan masa depan pihak yang terlibat.

“SPR boleh mengambil teladan daripada debat yang disiarkan secara ‘live’ di antara Lim Guan Eng dan Wee Ka Siong baru-baru ini.

“Semua debat ini adalah penting kerana kesukaran untuk berkempen setelah kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melarang kempen pilihan raya di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk menjayakan usaha tersebut, mantan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari boleh mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk berdebat dengan semua calon ketua menteri gabungan-gabungan lain.

Untuk gabungan-gabungan lain, Chin Tong berkata, beliau tidak pasti sama ada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali atau Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang akan menjadi pilihan UMNO untuk jawatan ketua menteri.

“Saya juga tidak pasti siapa calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional, sama ada Datuk Rafiq Naizamohideen atau Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin,” katanya.

Namun, tambahnya, siapa pun pilihan BN atau PN, semua calon Ketua Menteri Melaka patut berdebat secara langsung melalui siaran televisyen dan platform digital.

Beliau seterusnya menyeru agar pihak media memberikan liputan adil untuk semua calon daripada tiga gabungan utama itu. – Roketkini.com