Berita

Persiapan untuk pertempuran seterusnya bermula hari ini – Chin Tong

Oleh Roketkini

Sungguhpun Pakatan Harapan (PH) telah kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetapi tidak semestinya gabungan itu akan kalah pada ‘pertempuran yang lebih besar’.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, gabungan itu harus bangkit daripada kekalahan untuk menyusun strategi lebih baik bagi pertempuran seterusnya.

“Pada April 2007, DAP kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Machap di Melaka dengan satu keputusan yang tidak memberangsangkan. Setahun selepas itu pada Mac 2008, tsunami politik telah mengubah landskap politik selama-lamanya.

“Pada 7 Mei 2016, kerusi-kerusi DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah berkurangan daripada 12 kepada tujuh. Pada 18 Jun 2016, PH kalah dengan teruk di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Tetapi kurang dari dua tahun selepas itu, pada Mei 2018, pengundi Malaysia telah mengundi untuk perubahan kerajaan untuk pertama kalinya,” katanya di laman Facebook semalam.

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor memberitahu, kemenangan 2008 merupakan sebahagian daripada pergerakan Bersih, yang mana dianjurkan dengan bantuan pihak pembangkang sebelum ini.

Sementara itu, tambahnya, kemenangan 2018 boleh dikaitkan dengan penjajaran semula besar-besaran pada 2017 untuk menjadikan PH sebagai ‘game changer’.

“PH memerlukan satu ‘reset’ untuk menjadikan gabungan tersebut sebuah ‘khemah besar’ bagi menyatukan semua pihak yang menentang politik lama UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“PH yang baharu ini harus menjadi pilihan kesemua ‘swing voters’ dan pengundi muda,” katanya.

Pada PRN Melaka, Chin Tong memberitahu, pengundi Melayu muda yang menolak UMNO/BN telah mengundi PN.

Jelasnya, PH perlu diberi satu wajah yang segar dan bahan baharu agar ‘swing voters’ tersebut akan memilih gabungan tersebut berbanding UMNO/BN atau PN.

“DAP berprestasi baik di kerusi-kerusi bandar iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.

“Di kerusi-kerusi bandar iaitu Pengkalan Batu and Duyong, dengan masing-masing 65 peratus dan 60 peratus pengundi Melayu, DAP kalah dengan masing-masing 131 dan 200 undi.

“Di kerusi-kerusi luar bandar iaitu Bemban dan Gadek, yang terdiri daripada kira-kira 60 peratus pengundi Melayu, DAP kalah dengan masing-masing 1,116 dan 559 undian,” katanya.

Chin Tong berkata, kekalahan tersebut adalah dikesali namun PH tidak boleh berputus asa.

Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan bahawa gabungan itu boleh memenangi kerusi-kerusi tersebut dengan peralihan undi yang sangat kecil dari pengundi muda dan atas pagar.

Chin Tong menjelaskan, DAP mesti teguh untuk menjadi parti kebangsaan bagi semua rakyat Malaysia dengan pandangan ‘Rakyat Malaysia Pertama’ dan menolak semua seruan untuk ‘melangkah ke belakang’ menjadi parti bersifat ‘parochial’, atau jumud.

“Pilihan raya umum (PRU) akan datang tidak lama lagi. Malah, mungkin terdapat lebih banyak pilihan raya negeri berasingan dalam bulan-bulan mendatang.

“Persediaan untuk pertempuran seterusnya bermula hari ini. Sudah tiba masanya untuk menetapkan semula dan menyuntik ‘game changers’ baharu ke dalam politik negara supaya memberi harapan kepada rakyat dan untuk mereka terus melihat PH sebagai simbol harapan (beacon of hope),” katanya. – Roketkini.com