Berita

PRN Melaka: Kemungkinan besar Umno-Bersatu tidak kembali bersama

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari, kemungkinan besar UMNO dan Bersatu tidak akan kembali bersama.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, meskipun trio UMNO iaitu Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hassan berusaha menyingkirkan Bersatu daripada gelanggang politik, PRN Melaka telah memberi talian hayat baharu buat Perikatan Nasional (PN).

Menurut Chin Tong, PN menerima 24 peratus undi di Melaka biarpun pengaruh PAS adalah terhad di negeri-negeri selatan Semenanjung.

“Dengan ini, negeri dan kawasan majoriti Melayu seperti Kedah, Terengganu, utara Perak dan timur Pahang yang mempunyai pengaruh PAS yang kuat, PN bakal menjadi pencabar sengit buat Umno,” katanya dalam satu kenyataan.

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor memberitahu, trio pimpinan UMNO mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan segera, seperti yang dinyatakan oleh Mohamad sebelum ini.

Jelasnya, mereka akan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin pada suku pertama 2022.

“Ismail pula tentunya tidak mahu membubar Parlimen begitu awal kerana beliau baru sahaja menjadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Walaupun menjadi rakan separti, tambah Chin Tong, Ismail bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta beberapa pemimpin UMNO dilihat tidak sehaluan dengan trio Umno yang mengawal teras parti.

“Apa yang dibayangkan dalam karya klasik Cina, Hikayat Tiga Negara, yang berkisar tentang perebutan kuasa tiga penjuru pada zaman Dinasti Han lebih 2,000 tahun lalu, ia kini sedang menjadi kenyataan di Malaysia,” tambah beliau.

Sekiranya trio pimpinan UMNO tidak berjaya mendesak pelaksanaan pilihan raya di peringkat persekutuan, adakah mereka akan cuba mendesak negeri-negeri yang ditadbir Umno seperti Johor dan Perak untuk mengadakan pilihan raya negeri, soalnya.

“Apabila UMNO mendesak Ismail nanti, apa yang akan beliau lakukan? Apa pula tindakan parti-parti lain? Itu persoalannya,” katanya.

Kata beliau, PRN Melaka mungkin dapat menyelesaikan dilema politik negeri itu buat sementara tetapi ia telah mencetus lebih banyak persoalan dan masalah di peringkat nasional termasuk nasib kerjasama di antara BN dan PN serta masa hadapan Pakatan Harapan (PH). – Roketkini.com