Berita

Wakil-wakil DAP terus aktif santuni masyarakat

Wakil-wakil DAP terus aktif dalam membantu kehidupan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi antaranya, telah menyerahkan sumbangan empat buah komputer riba (laptop) kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Kluang.

Walaupun sesi pembelajaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah berkurang, jelas Shu Qi, para penghuni asrama anak-anak yatim tersebut masih memerlukan komputer untuk membuat ulangkaji dan kerja rumah.

“Saya sempat beramah mesra dan memberi semangat kepada mereka. Saya berpesan agar mereka berasa menanam rasa seronok untuk belajar dan mula mencari bidang yang mereka minati.

“Walaupun sesi pembelajaran sekarang mencabar, tetapi mereka masih ada ruang untuk belajar. Gunakan peluang yang ada ini dengan baik,” katanya di lama Facebook semalam.

Dalam pada itu, Pasukan Khidmat Komuniti Padang Terap di Kedah telah menyantuni para pemandu teksi dan pemandu bas di daerah tersebut.

Ini susulan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan kepada semua terutamanya mereka yang hanya bergantung melalui pendapatan harian untuk mencari pendapatan.

Ziarah dan ramah mesra ini diadakan di Stesen Bas Kuala Nerang.

Antara yang turut serta ialah Penaung Pasukan Khidmat Komuniti Padang Terap, Nor Miswary Ramli.

Beliau turut mengagihkan sumbangan bantuan makanan kepada kesemua 27 para pemandu di kawasan itu. – Roketkini.comb