Berita, Uncategorized

Siasat segera laporan 6 kolam takungan banjir diluluskan untuk pembangunan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi tempoh 24 jam untuk bertindak susulan laporan berhubung enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 yang dibentangkan baru-baru ini telah mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020 bahawa Datuk Bandar telah meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

Menurutnya, laporan tersebut juga menyebut perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan menyebabkan berlakunya pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur dan kesesakan lalu lintas.

Tambahnya, kemungkinan pendedahan yang paling mengejutkan dalam laporan tersebut adalah enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan.

“Seminggu selepas hujan lebat berpanjangan pada 18 Disember 2021, Kuala Lumpur telah mengalami banjir yang teruk melibatkan 12 kawasan dan menyebabkan lebih 90 lokasi kejadian tanah runtuh.

“Ketika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhempas pulas membersihkan sampah akibat banjir, namun terdapat keperluan untuk mereka berhenti dan melihat semula bagaimana kelulusan pembangunan di Kuala Lumpur dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah menambah, tukar guna tersebut bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi banjir Kuala Lumpur Flood Mitigation seterusnya mendedahkan Bandar Raya Kuala Lumpur kepada risiko berlakunya bencana banjir yang lebih kerap.

Tegasnya, laporan tersebut juga secara jelas mendedahkan, untuk tempoh yang sama dari tahun 2015 hingga 2020, Kuala Lumpur mengalami banjir kilat sebanyak 48 kali.

“Ini juga merupakan pertambahan bilangan banjir kilat dari lima kali pada tahun 2017 kepada 13 kali dalam tahun 2020 iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda,” katanya.

Hannah berkata, beliau tidak akan mengizinkan kejadian banjir di Kolam Air dan di Kampung Kasipillay yang berlaku di dalam kawasan Parlimen Segambut tidak dilayan dengan sewajarnya.

Sebagai Ahli Parlimen mereka, katanya, beliau menuntut SPRM mengambil tindakan segera mengenai pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Semua maklumat secara jelas dinyatakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara termasuk kronologi dan kegagalan jawatankuasa yang meluluskan. Jika Perdana Menteri serius mahu menangani isu banjir ini, beliau tidak boleh terlepas perkara paling penting ini,” katanya. – Roketkini.com