Berita

TPPA: Syarikat gergasi bakal ‘telan’ syarikat kecil tempatan, 28 juta rakyat terancam

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-13 bakal mengakibatkan 28 juta rakyat Malaysia dan negara diancam dominasi ekonomi akibat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Perjanjian itu dilihat pakar ekonomi bakal memberi kesan langsung kenaikan harga pelbagai produk barangan pengguna, perkhidmatan, hak pelaburan, perolehan kerajaan, hak harta intelek, harga ubat malah kebebasan berinternet.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, perjanjian itu bukan sekadar satu perjanjian komersial biasa untuk meningkatkan dasar liberalisasi ekonomi tetapi mempunyai agenda yang lebih besar daripada itu.

“Di Parlimen tahun lalu, saya meminta kerajaan menyatakan apa risiko yang bakal dihadapi negara jika perjanjian TPPA dilaksanakan. Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir ketika itu (sekarang Menteri Besar Kedah) menjawab bahawa kerajaan memberi jaminan kepentingan Malaysia dilindungi kerana “kerajaan sentiasa mempunyai pegawai dari Jabatan Peguam Negara yang hadir ketika perbincangan dengan perwakilan asing.

“Jawapan itu jelas menunjukkan beliau (Mukhriz) juga tidak tahu implikasi ekonomi yang bakal dihadapi negara akibat TPPA,” katanya.

Menghurai lanjut, apabila undang-undang dan peraturan TPPA diterima pakai oleh negara terbabit, ia akan mengakibatkan perubahan undang-undang tempatan supaya disesuaikan dengan semua peraturan baru yang dipersetujui.

“Ini akan membolehkan syarikat pelabur boleh mendakwa dan menuntut pampasan daripada kerajaan di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva. Ia bakal menjejaskan bidang kuasa kerajaan sekaligus mencemarkan kedaulatan negara,” ujar beliau.

Contohnya, menurut Santiago, kesan kepada industri perubatan, TPPA bakal meningkatkan kos perubatan kerana mengandungi peruntukan undang-undang yang ketat membabitkan hak harta intelek yang akan menghadkan akses kepada ubat-ubatan generik.

Perkara ini, katanya, bakal memaksa rakyat Malaysia menggunakan ubat-ubatan yang lebih mahal.

Dalam satu kenyataannya tahun lalu, Santiago berkata, persetujuan kepada perjanjian TPPA ini akan menyebabkan pencipta ubat dari Amerika Syarikat memonopoli dan mengaut keuntungan besar kerana ia membabitkan perlindungan paten atau hakcipta yang menyeluruh dan tempoh paten yang dipanjangkan sehingga 20 tahun.

Menurutnya, kenaikan harga ubat akan menyebabkan ramai terutamanya di kalangan masyarakat berpendapatan rendah serta kumpulan terpinggir akan lebih menderita.

“Ia juga akan mengakibatkan peningkatan kadar beban penyakit, morbiditi dan meningkatkan kadar pelancongan kesihatan ke negara yang mempunyai akses ubat-ubatan dan perubatan yang lebih murah.” ujar beliau.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan menyediakan satu analisis lengkap membabitkan kos dan keuntungan jika TPPA dilaksanakan, mengadakan taklimat kepada semua Ahli Parlimen pada sesi Jun 2013 ini dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bi-partisan pada TPPA.

“Saya juga mahu kerajaan menyediakan satu platform untuk masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain mengambil bahagian dalam rundingan TPPA akan datang di Malaysia seperti dialog secara terus dengan perunding TPPA,” katanya.

Malaysia akan menjadi negara bagi rundingan tertutup TPPA ke-18 dalam tempoh empat minggu akan datang membabitkan 12 negara.

Negara terbabit dalam rundingan perjanjian itu ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Rundingan ‘rahsia’ ini merupakan cabaran besar bagi Malaysia dan seluruh rakyat termasuk komuniti perniagaan.

“Ini bukan petanda baik bagi pentadbiran penggal kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya lagi.-Roketkini.com