Berita

DAP tidak pinggir masyarakat Iban, bangunkan wanita desa

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Masyarakat Iban di Sarawak akan terus dibela terutama  membabitkan keperluan asas, pendidikan politik dan golongan wanita.

Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng ketika ditemui Roketkini.com baru-baru ini berkata, ini kerana masih ramai masyarakat iban di Sarawak ketinggalan dari menikmati kemudahan asas walaupun Barisan Nasional (BN) sudah memerintah negeri itu lebih 50 tahun lalu.

Alice Lau adalah satu-satunya Ahli Parlimen wanita DAP di Bumi Kenyalang itu bertekad akan memberi fokus kepada usaha menaikkan taraf hidup masyarakat Iban di kawasan yang diwakilinya.

“Apa yang mereka hadapi dan perlukan sekarang ini merangkumi keperluan asas, contohnya masih ada kawasan yang tidak mendapat bekalan elektrik, air dan kemudahan jalan raya.

“Keperluan asas adalah perkara paling penting, bukan saja untuk masyarakat Iban tapi semua kaum dalam kawasan kawasan Parlimen Lanang,” katanya.

Menurut beliau, selain keperluan asas, masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar perlu didedahkan dengan pendidikan politik.

“Ini bagi menjamin masa depan mereka dan generasi akan datang yang lebih baik.

“Saya dapati ramai di kalangan masyarakat Iban tidak tahu bahawa kerajaan boleh ditukar sehingga menganggap tanpa BN mereka tidak akan mendapat apa-apa bantuan dan sebagainya,” ujar Alice.

Tambahnya, BN menggunakan faktor ini demi kepentingan politik mereka dan tidak hairan jika masih ramai masyarakat luar bandar yang majoritinya Iban hidup dalam keadaan miskin dan tertindas.

“BN terus menerus membiarkan hidup mereka dalam keadaan sengsara kerana mahu agar masyarakat Iban yang miskin terus bergantung hidup dan menyerah nasib mereka kepada BN.

“Inilah cara BN mempermainkan kaum Iban untuk mengekalkan sokongan dan undi serta berkuasa di Sarawak,” katanya.

Selain itu, Alice Lau berkata, beliau akan turut memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar dan kebajikan wanita di seluruh Sarawak.

“Misi saya adalah menghapus kemiskinan tegar. Kebajikan yang diberi kerajaan untuk penduduk miskin masih tidak cukup. Kami mahu kehidupan rakyat Sarawak lebih selesa,” katanya.-Roketkini.com