Berita

Anti Islam-Tamil, DAP gesa Malaysia tidak hadir CHOGM di Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: DAP minta kerajaan Malaysia menarik diri daripada menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Commonwealth (CHOGM) 2013 yang akan diadakan di Sri Lanka September ini akibat jenayah perang yang dilakukan ke atas masyarakat minoriti Tamil dan Islam sebelum ini.

Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran dalam kenyataan berkata, tindakan yang perlu diambil Malaysia perlu demi menjaga sensitiviti dan tanggungjawab terhadap kekejaman yang dilakukan regim Sri Lanka itu.

“Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadiri CHOGM 2013, ia akan menjadi satu kesalahan diplomatik dan Malaysia akan dianggap sebagai memberi sokongan kepada kepimpinan Sri Lanka yang ditadbir penjenayah perang malah disifatkan memusuhi Islam,” katanya.

Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, Malaysia adalah negara yang menganggotai  Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebelum ini, dalam dua pengundian terakhir pada resolusi jenayah perang di Sri Lanka, Malaysia menjadi negara berkecuali.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana menghormati pendirian rakyat Malaysia untuk tidak menyokong Sri Lanka sebelum ini kerana mengambil perhatian terhadap pencabulan hak asasi manusia dan perlakuan jenayah perang,” jelasnya.

Atas usaha dan sikap berkecuali yang diambil Malaysia itu, Kulasegaran berkata, adalah amat wajar jika Najib tidak menghadiri persidangan CHOGM yang bakal berlangsung di Sri Lanka antara 15 dan 17 November ini dan meminta supaya negara itu digantung daripada CHOGM.-Roketkini.com