Berita

Kuota FiT SEDA perlu diberi kepada individu bukannya syarikat-syarikat besar – Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER: DAP menyifatkan pelaksanaan skim Feed-in-Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah mengalami kegagalan besar memandangkan banyak syarikat gagal mencapai kuota yang diberikan.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata pelaksanaan Tarif Galakan SEDA sepatutnya diberikan fokus kepada kuota individu bukannya syarikat-syarikat besar.

“Banyak syarikat-syarikat besar ini telah gagal mencapai quota mereka, SEDA sepatutnya mengalihkan fokus mengeluarkan lebih banyak kuota FiT kepada individu. Sekarang 81 peratus daripada kuota solar diperuntukkan kepada bukan individu (> 0.5MW).

“Dengan memberikan lebih kuota FiT kepada individu, risiko tersebar di antara lebih banyak pemegang FiT. Melalui cara itu Lebih ramai orang terutama syarikat-syarikat kecil/PKS yang berupaya memasang panel solar juga boleh mendapat manfaat.

“Dalam Bajet Alternatif Pakatan Rakyat untuk 2014, lebih banyak langkah ke arah menggalakkan peserta kecil mengambil bahagian dalam tenaga boleh baru akan diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Laporan Tahunan SEDA 2011, sebanyak 380MW kuota FiT telah dikeluarkan bagi 2012 (190MW) dan 2013 (190MW).

Berdasarkan laman web SEDA pula, hanya 120MW atau 31 peratus telah berjaya dipasang buat masa sekarang dan untuk 2013, angka ini adalah 15MW atau 8 peratus daripada 190MW kuota yang dikeluarkan.

“Jawapan Parlimen yang saya terima pada 23 September menyatakan bahawa 11 pemegang kuota FiT dengan kapasiti sebanyak 31MW telah dibatalkan kerana tidak mematuhi syarat-syarat. Dalam jawapan sama, saya juga diberitahu bahawa 92 pemegang FiT dengan kapasiti 190.76MW diberi sambungan kepada tarikh akhir komisi mereka.

“Majoriti sambungan 77 peratus (71 daripada 92) melibatkan 92 peratus daripada kuota (175.2MW daripada 190.76MW) adalah untuk tempoh lebih daripada dua bulan.

“Ini bermakna lebih separuh daripada kuota FiT bagi 2012 dan 2013 iaitu 221MW atau 58.3 peratus (daripada 380MW) telah ditangguhkan tarikh komisi ataupun dibatalkan, walhal kita masih belum sampai ke penghujung 2013 lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Kian Ming menyatakan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua juga telah membangkitkan soalan mengapa kuota yang pada mulanya dibatalkan SEDA kemudiannya ditarik balik oleh Menteri.

“Pada masa sama, saya menerima maklumat daripada sumber-sumber industri bahawa 40 syarikat-syarikat telah membuat permemohon untuk kuota FIT awal tahun ini belum lagi mendapat maklum balas dari SEDA (sama ada ditolak atau diluluskan). Ini bermakna modal mereka terikat dan tidak boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti perniagaan yang lain.

“SEDA mengeluarkan kuota 500kW solar untuk individu pada 28 Ogos 2013 dan kuota ini telah dihabiskan dalam jam pertama. SEDA terpaksa menangguhkan keluaran 1000kW kepada tarikh akan datang kerana permintaan yang besar daripada individu,” katanya. – Roketkini.com