Berita

DAP tuntut Najib segerakan cadangan PEMANDU

KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa peningkatan kecil dalam mengemukakan Laporan Ketua Audit Negara 2012 masih tidak mencukupi selagi cadangan PEMANDU supaya ia dibentangkan secara berkala tidak dipenuhi.

Beliau berkata, cadangan PEMANDU itu perlu dilaksanakan agar Ahli Parlimen boleh membahasnya dengan lebih kerap bukan hanya sekali setahun.

“Tidak seperti sebelumnya, kali ini kami dibekalkan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2012 lebih awal iaitu sudah berada di atas meja pagi semalam, sebelum akhir Persidangan ke-2 Dewan Rakyat tahun ini.

“Walaupun gembira melihat peningkatan itu, ia masih tidak mencukupi jika Najib masih tidak memenuhi cadangan PEMANDU dalam memerangi rasuah untuk mempunyai Laporan Audit yang dibentangkan di Parlimen secara berkala pada setiap masa supaya Ahli Parlimen boleh membahasnya dengan lebih kerap dan bukan hanya sekali setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0, Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) Rasuah (NKRA COR) menyebut cadangan mentransformasikan proses Laporan Ketua Audit Negara.

Menurutnya, kelewatan dan ketiadaan tindakan yang diambil kerajaan untuk menangani kebimbangan dan saranan yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara menyebabkan persepsi awam semakin buruk terhadap kebolehan kerajaan untuk bertindak terhadap kes rasuah dan penipuan.

“Memandangkan kebanyakan masalah ini berkait rapat dengan proses laporan sedia ada, NKRA COR bercadang melaksanakan empat inisiatif baru dalam GTP 2.0 bagi memperkemas proses Laporan Ketua Audit Negara.

“Satu daripadanya adalah Akses pantas kepada Laporan Prestasi Audit Ketua Audit Negara: Setiap tahun, Ketua Audit Negara akan membentangkan prestasi audit, tetapi jumlah kandungan maklumat di dalam laporan itu adalah sangat besar. Inisiatif ini memerlukan laporan prestasi audit Ketua Audit dibentangkan tiga kali setahun, sekali gus,membolehkan pemprosesan yang lebih pantas dan cekap terhadap kandungan,” katanya.

Menurut jawapan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada 15 Oktober 2012 menyatakan Jabatan Audit Negara bersedia untuk bergerak ke arah hala tuju membentangkan laporan mereka tiga kali setiap tahun.

“Selepas hampir setahun, ia masih tidak dilaksanakan. Jadi saya tertanya-tanya, apa yang sedang Najib dan Kabinetnya tunggu?

“Padahal membentangkan laporan Ketua Audit Negara tiga kali setahun adalah cara paling mudah untuk dilaksanakan berbanding tiga langkah transformasi lain yang disyorkan PEMANDU.

“Cadangan yang paling mudah dan senang pun tidak dilakukan. Jadi bagaimana boleh rakyat yakin bahawa Perdana Menteri, Najib Razak benar-benar komited dan serius memerangi rasuah dan membuktikan PEMANDU bukan sekadar hiasan luaran semata?,” soalnya.

Teo Nie Ching juga berkata, antara cadangan PEMANDU ialah mewujudkan Jawatankuasa Tindakan mengenai Laporan Ketua Audit Negara untuk membolehkan juru audit yang menghasilkan laporan dan pegawai SPRM akan meningkatkan kerjasama.

“Menubuhkan papan kemuka Ketua Audit Negara secara dalam talian bagi memantau tindakan yang diambil terhadap isu yang dibangkitkan laporan Ketua Audit. Ia bertujuan menggalak ketelusan dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa bertindak ke atas isu tertunggak.

“Menubuhkan Penyiasatan Putrajaya agar dapat menyelesaikan kes tertunggak yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit lalu. Ia akan dipengerusikan Perdana Menteri dan kementerian berkaitan dan akan ditutup selepas semua tunggakan diselesaikan. -Roketkini.com