Berita

Kekalkan mural ‘jenayah tinggi’ di JB sebagai cabaran pihak berkuasa

KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berpendapat mural “jenayah tinggi” Zachas tidak perlu dihapuskan, sebaliknya dikekalkan sebagai cabaran kepada pihak berkuasa menjadikan Johor Bahru (JB) rendah jenayah dan testimoni kadar jenayah yang tinggi di bandaraya itu “hanya tinggal dalam lipatan sejarah”.

Bagaimanapun, katanya, satu-satunya cara bagi menghilangkan ‘sengatan’ mural Zachas itu ialah menghapuskan reputasi JB sebagai pusat jenayah negara sehingga mural itu boleh dianggap sebagai tanda kejayaan transformasi JB menjadi sebuah bandaraya selamat.

“Gambaran yang terdapat pada mural Zachas tidak akan menyengat jika kadar jenayah di bandaraya itu tidak tinggi.

“Mural Zachas menonjolkan keadaan sebenar yang tidak menyenangkan dan mencerminkan keadaan semasa yag menyedihkan mengenai kadar jenayah yang tinggi di bandaraya itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, sejak beberapa hari lalu, pihak berkuasa di Johor Bahru, termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru, polis, dan kerajaan negeri Johor terganggu dengan satu daripada tiga mural yang dibuat seniman jalanan bertaraf antarabangsa kelahiran Ernest Zacharevic yang menonjolkan isu kadar jenayah yang tinggi dalam bandaraya itu.

Beliau berkata, bandaraya JB dan penduduknya akan meraih faedah lebih besar jika tenaga yang mereka gunakan untuk berdebat mengenai apa yang perlu dilakukan terhadap mural jenayah tinggi di JB disalurkan ke arah mengurangkan kadar jenayah di ibu negeri Johor itu.

“Apakah pihak berkuasa berkenaan mampu menganggap komentar tentang kadar jenayah yang tinggi itu sebagai satu cabaran dan inspirasi untuk menggembeleng usaha semua pihak dengan sokongan penduduk JB untuk menurunkan kadar jenayah.

“Langkah itu akan menjadi respons yang lebih kreatif dan positif terhadap mural “jenayah tinggi” Zachas dan akan membuatkan JB lebih terkenal berbanding mengekalkan dua rekod iaitu mural “jenayah tinggi” Zachas dan, mural yang dipadamkan pihak berkuasa dalam keadaan kadar jenayah masih tinggi atau meningkat sehingga menghantui penduduk,” tambahnya.

Menurut kit Siang, rakyat Malaysia yang waras akan bersetuju dengan Zacharevic – “Seni tidak mencemarkan citra sesebuah kota, sebaliknya yang mencemarkannya adalah jenayah”.

Katanya, beliau berharap mural itu diterima sebagai cabaran kepada pihak berkuasa berkenaan, termasuk Menteri Besar Johor, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua Polis Johor, Datuk Bandar Johor Bahru, dan ahli majlis kerajaan tempatan untuk bangkit dan menggunakan mural itu untuk mengubah JB menjadi sebuah bandaraya rendah kadar jenayah demi kepentingan penduduk, pelancong dan pelabur.-Roketkini.com